Laporan/foto: Nasrul Abdul Hamid/Malini Md Yunos (Rembau)
REMBAU, 17 Mac (Malaysiaaktif) – Inisiatif Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menjalankan program pandu lalu JHEAINS bersama-sama pemandu teksi Daerah Rembau merupakan satu inisiatif meringankan beban pemandu-pemandu teksi di daerah Rembau dengan pemberian barangan keperluan harian akibat terjejas sumber pendapatan kerana pelaksanaan perintah kawalan pergerakan.
Pegawai Agama Islam Daerah Rembau Fadzli Yutiman, berkata program yang dilaksanakan ini bertujuan untuk mensejahterakan masyarakat setempat.
“Program pada hari ini adalah bertujuan untuk memberikan sumbangan berbentuk barangan keperluan harian kepada pihak yang terkesan dengan pandemik COVID-19.
“Selain itu, melalui program ini juga ianya dapat menunjukkan bahawa keterlibatan dan peranan JHEAINS terhadap masyarakat setempat sejajar dengan visi jabatan iaitu Pemangkin Ummah Sejahtera,” katanya ketika bersama-sama petugas Info on Wheels Pejabat Penerangan yang turut menyampaikan kit COVID-19 kepada pemandu teksi di Pejabat Agama Islam Daerah Rembau, di sini hari ini.
Menurut Timbalan Setiausaha Persatuan Teksi Rembau Mohd Nor Adha Rahim, beliau bersyukur atas bantuan yang diberikan.
“Saya mengucapkan syukur diatas kesudian JHEAINS dalam memberikan sumbangan ini kepada pemandu-pemandu teksi di daerah ini dan ianya menunjukkan bahawa pihak JHEAINS memandang kami dan ianya sejajar dengan visi JHEAINS.
“Tidak lupa juga kepada Jabatan Penerangan Malaysia yang turut serta dalam program dengan pemberian kit COVID-19 kepada kami kerana dengan pemberian kit tersebut yang mengandungi risalah-risalah dan penerbitan berkaitan isu semasa sememangnya boleh menjadikan pemandu teksi sebagai agen menyampaikan maklumat bagi pihak kerajaan kepada masyarakat setempat,” ujarnya.
Seramai 30 orang pemandu teksi hadir ke menerima bantuan yang diberikan.
-FF