Laporan/foto: Nor Emylia Lot/Mohamad Afiq Ahmad Zaid (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 3 Mac (Malaysiaaktif) – Prihatin terhadap masyarakat yang terkesan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kehilangan punca pendapatan mendorong Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir mewujudkan gerobok rezeki bagi membantu penduduk setempat mendapatkan barangan keperluan harian secara percuma.
Menurut Penyelia Pejabat DUN Seberang Takir Zali Mohamad, pada Sabtu lalu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, telah melancarkan inisiatif berkenaan bersama-sama beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), syarikat swasta dan peniaga persendirian dalam menyumbang barang-barang keperluan harian.
“Hasil sumbangan yang disalurkan tersebut dikumpul bersama dan seterusnya pihak kami membeli barangan keperluan harian bagi golongan yang terkesan akibat COVID-19 dalam DUN ini.
“Buat masa ini, sebagai permulaan kami akan memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan dan terkesan kerana pandemik dan khusus untuk masyarakat dalam DUN Seberang Takir sahaja,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini baru-baru ini.
Tambah Zali Mohamad, antara barangan keperluan harian yang disediakan termasuklah beras, minyak masak, tepung gandum, gula, kicap, sos tomato, ikan sardin, ikan masin, telur, susu pekat dan lain-lain.
“Ketua isi rumah yang mahu mendapatkan barangan keperluan harian berkenaan boleh mendapatkan borang daripada ketua cawangan UMNO di DUN Seberang Takir.
“Kepada keluarga yang layak diberi bantuan berkenaan boleh hadir ke pejabat kami di sini untuk mendapatkan barangan keperluan harian dan mereka boleh memilih empat jenis barang setiap kali ke gerobok rezeki ini,” katanya.
Sementara itu, penerima bantuan, Zamariah Abd Rahman, 51, daripada Kampung Tok Jembal, berkata beliau sangat bersyukur dan berterima kasih kerana diberi bantuan keperluan berkenaan.
“Makcik sangat bersyukur dan berterima kasih kepada ADUN Seberang Takir di atas usaha murni beliau kerana mewujudkan gerobok rezeki ini.
“Kesungguhan bagi memastikan isi rumah yang memerlukan tidak keciciran daripada menerima bantuan, kakitangan Pejabat DUN sendiri ‘turun padang’ bagi mengenal pasti keluarga yang layak untuk diberi bantuan,” ujar Zamariah.
Di samping itu, penerima lain, Che Ayob Idris, 51, berkata usaha murni bekas Menteri Besar mewujudkan gerobok rezeki ini adalah langkah yang sangat tepat dan bersesuaian dengan situasi semasa ketika ini berikutan ramai individu dan isi rumah kehilangan pekerjaan.
“Gerobok rezeki ini merupakan saluran terbaik untuk rakyat bertemu secara langsung dengan pimpinan setempat kerana bukan sahaja dapat bertemu Yang Berhormat (YB) dengan lebih dekat tetapi dalam masa yang sama, bantuan keperluan juga diberikan,” katanya.
“Saya mengharapkan gerobok rezeki ini diteruskan dan diperluaskan untuk golongan seperti kami,” katanya mengakhiri perbualan.