Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Petugas Barisan Hadapan HTF Terima Suntikan Vaksin

By 2 Mac 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Aini Hanapiah/Anuar Che Amat (Kangar) 

KANGAR, 2 Mac (Malaysiaaktif) – Seramai 216 petugas barisan hadapan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) menerima suntikan vaksin COVID-19 yang turut melibatkan petugas keselamatan dan khidmat sokongan hospital bukan klinikal.

Menurut Pengarah Hospital Tuanku Fauziah Dr. Othman Warijo, untuk tiga minggu pertama ini adalah tempoh vaksinasi kepada semua petugas HTF.

“Suntikan vaksin ini akan melibatkan 2,700 kakitangan yang akan dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu pada hari Selasa, Rabu dan Khamis mengikut garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Susunan jadual dibuat mengikut lokasi dan jabatan yang mana ia tidak hanya melibatkan satu jabatan pada satu-satu masa bagi memastikan perkhidmatan klinikal dalam HTF berjalan dengan lancar.

“Semua petugas akan mengikut giliran untuk menerima suntikan termasuk petugas keselamatan dan sokongan bukan klinikal seperti pekerja pembersihan,” katanya ketika ditemui pada Program Imunisasi COVID-19 di Hospital Tuanku Fauziah Kangar, di sini, tadi.

Beliau menyeru semua rakyat Malaysia untuk mengambil suntikan vaksin COVID-19 yang bukan sahaja akan melindungi diri dan keluarga namun ia juga sebagai tanda sokongan rakyat kepada usaha membasmi penularan wabak COVID-19 dalam negara.

Pakar Psikiatri HTF Dr. Ruzita Jamaluddin yang sedang berada di ruangan pemerhatian setelah di suntik vaksin COVID-19 berkongsi perasaan teruja dan mengajak semua rakyat Malaysia terutama di Perlis untuk mendaftar di aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan suntikan ini.

Jururawat HTF Azumarnie Che Seman yang ditemui berkata beliau telah menerima suntikan vaksin pada hari Jumaat yang lalu.

“Keadaan kesihatan saya selepas menerima suntikan vaksin adalah sangat baik dan tiada sebarang simptom.

“Saya sudah mula bertugas seperti biasa pada hari ketiga setelah menerima suntikan tersebut,” ujarnya.

Ketua Jururawat HTF Matron Rusmira memaklumkan beberap proses perlu dilakukan oleh para petugas HTF yang dijadual untuk menerima vaksin.

“Mereka perlu mendaftar di khemah pendaftaran, disaring kesihatan dan kemudian akan masuk ke dewan untuk divaksin setalah menandatangai surat persetujuan.

“Setelah disuntik, para penerima vaksin perlu menjalani pemantauan selama 30 minit dan jika tiada masalah mereka akan bergerak ke pusat discaj,” ujarnya lagi.

Matron berkata setiap penerima vaksin akan mendapat kad vaksin yang terdapat tarikh penerimaan bagi dos kedua.

-NI-

Tinggalkan komen anda