Laporan/foto: Noor Aini Hanapiah/Anuar Che Amat (Kangar)
KANGAR, 29 Mac (Malaysiaaktif) – Inisiatif Wakaf Tunai Penyelenggaraan Masjid yang diusahakan oleh Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) merupakan usaha baik dan memberi manfaat yang besar kepada umat Islam di Perlis.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, wakaf tunai penyelenggaraan masjid yang dilancarkan ini dapat memberi peluang kepada orang ramai melakukan ibadah wakaf dengan lebih mudah.
“Dana wakaf ini akan digunakan untuk pembinaan dan penyelenggaraan masjid tersebut yang secara tidak langsung dapat mengalakkan mereka untuk berwakaf.
“Ia merupakan satu perkembangan yang baik terutamanya bagi menggalakkan lagi ibadah wakaf,” katanya ketika ditemui selepas Kuliah Maghrib Khas dan Pelancaran Wakaf Tunai tersebut di Masjid Alwi, di sini semalam.
Tambah beliau, sebagai tanda sokongan di atas usaha MAIPs, kerajaan persekutuan turut menyumbangkan RM2,000 untuk Tabung Wakaf Tunai Penyelenggaraan Masjid.
“Semoga insiatif yang dibuat ini akan beroleh kejayaan dan hasil sumbangan wakaf tunai MAIPs ini juga akan digunakan untuk pembinaan dan penyelenggaraan pusat-pusat komuniti yang akan memberikan manfaat kepada masyarakat setempat,” katanya.
Pada majlis sama, Zulkifli turut menyampaikan kuliah khas Maghrib berkenaan dengan kepentingan masa dan ilmu.
Beliau juga mengingatkan kepada semua yang hadir dalam kuliah tersebut agar memanfaatkan ilmu dan masa dengan sebaik–baiknya dengan pelbagai pengisian yang memberi faedah terutama kepada masyarakat.
-NI-