Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

LAT dan Usahawan Geoproduk Bakal Tingkatkan Ekonomi Pulau Langkawi

By 5 Mac 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Nazri Saparudin (Langkawi)

LANGKAWI, 5 Mac (Malaysiaaktif) – Projek Lobster Air Tawar (LAT) merupakan projek rintis hasil kerjasama antara Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan syarikat DXN Agrotech Sdn. Bhd. yang merupakan satu inisiatif bawah strategi pembukaan peluang ekonomi baru, Pelan Hala Tuju Ekonomi Langkawi (HELANG) yang dilancarkan oleh LADA pada 31 Mei 2020 bagi membantu memulihkan ekonomi dan pendapatan masyarakat di Pulau Langkawi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Dr Hezri Adnan, LADA dan DXN Agrotech Sdn. Bhd. telah mengenalpasti cabang ekonomi baru iaitu perikanan sebagai salah satu sumber pendapatan sampingan yang bakal menjana pendapatan kepada penduduk tempatan dalam jangka masa panjang.

“Usaha ini diyakini dapat memberikan faedah kepada penduduk Langkawi yang hilang punca pendapatan apabila sektor pelancongan menerima kesan akibat penularan wabak COVID-19,” katanya yang ditemui sempena Majlis Perasmian dan Penyerahan Insentif Bantuan Perniagaan Projek Ekonomi Baru (PEB), di sini semalam.

Salah seorang peserta projek LAT yang ditemui Sobri Che Ahmad, 57, dari Kampung Padang Gaong, berkata beliau amat teruja kerana menjadi salah seorang peserta yang terpilih untuk menjalankan projek rintis ini.

“InsyaAllah saya akan gunakan tunjuk ajar yang diberikan bagi memastikan projek ini berkembang pesat bagi menjana ekonomi dan meningkatkan pendapatan di Pulau Langkawi,” katanya.

Manakala salah seorang peserta usahawan geoproduk, Rizal Jasman, 54, yang ditemui berkata beliau amat bersyukur dan berterima kasih kepada LADA yang memberikan Insentif bantuan dana untuk menjalankan perusahaan pakaian bertemakan batik yang diusahakan di Kompleks Makam Mahsuri.

“Saya amat berbesar hati kerana terpilih menjadi salah seorang usahawan geoproduk yang mendapat bantuan dan harapan saya akan terus berkarya dan memajukan industri batik yang saya usahakan di Pulau Langkawi ini,” katanya.

Projek rintis LAT ini melibatkan 23 individu terpilih yang terdiri daripada pemain industri dan komuniti Langkawi daripada kumpulan pemandu teksi, pemandu pelancong dan asnaf dengan setiap peserta menerima bantuan sebanyak RM2,000 dalam bentuk set pemeliharaan udang karang air tawar yang mempunyai 500 anak benih udang, manakala tujuh peserta usahawan geoproduk pula menerima suntikan dana sebanyak RM3,000 sebagai bantuan memulakan perniagaan mereka.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif DXN Agrotech Sdn Bhd Datuk Syed Isa Syed Alwi dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Sektor Pengurusan) LADA, Rohaizad Rashid.

-SH

Tinggalkan komen anda