Laporan/foto: Nor Emylia Lot (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 9 Mac (Malaysiaaktif) – Seramai 493 penerima daripada golongan yang berpendapatan rendah, miskin dan miskin tegar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal menerima manfaat daripada program kad sejahtera.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Dr. Alias Razak, yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Bukit Tunggal berkata pemilihan penerima berkenaan berdasarkan pendapatan purata perkapita keluarga di bawah RM280 setiap bulan yang layak untuk memohon kad sejahtera berkenaan.
“Penyerahan kad berkenaan dilaksana secara berperingkat dan mengikut Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) masing-masing di dalam DUN ini dan diharapkan semua penerima dapat manfaatkan sebaik mungkin kemudahan yang disediakan oleh kerajaan negeri ini,” katanya yang ditemui dalam Majlis Penyerahan Kad Sejahtera di pejabatnya, di sini baru-baru ini.
Sementara itu, Pengerusi JPKK Bukit Tok Ris Mohd Ali Ngah, berkata program kesihatan ini direalisasikan bagi memastikan rakyat hidup sihat dan sejahtera.
“Program yang dirintis ini merupakan penyelesaian jangka masa panjang kerajaan negeri dalam memberi kemudahan kepada golongan sasar untuk mendapatkan rawatan kesihatan seoptimum mungkin sekaligus memperkasakan dan membebaskan mereka daripada belenggu kemiskinan.
“Para pemegang Kad Sejahtera layak untuk mendapatkan rawatan kesihatan berjumlah RM500 setahun di klinik swasta terpilih yang dilantik oleh kerajaan negeri,” katanya.
Sementara itu, bagi JPKK Pak Katak Jailani Mamat, berkata beliau sangat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana sentiasa memikirkan medium sesuai untuk menambah baik kesihatan dan kebajikan masyarakat setempat.
“Golongan yang berpendapatan rendah, miskin dan miskin tegar dengan setiap keluarga antara golongan sasar yang layak menerima bantuan sekaligus membantu meteka untuk mendapatkan rawatan segera di klinik-klinik swasta (panel yang berdaftar) berhampiran tempat tinggal mereka,” katanya.
Tambah Alias Razak, asas kepada inisiatif ini adalah untuk membantu golongan berpendapatan rendah bagi mendapat rawatan yang segera di klinik panel terpilih dengan nilaian RM500 setahun.
“Kad ini perlu dibawa setiap kali mahu mendapatkan rawatan di klinik swasta terpilih dengan penggunaan maksimum RM70 setiap kali mendapatkan rawatan.
“Secara tidak langsung Kad Sejahtera ini mampu memberi pilihan kepada golongan sasar untuk mendapatkan rawatan pesakit luar di klinik-klinik swasta terpilih sekaligus dapat mengurangkan kesesakan di pusat kesihatan mahupun hospital kerajaan,” katanya.
-ii-