Skip to main content
Berita SelatanNegeri Sembilan

“Sinergi Tentera Darat dan Rakyat : Tunjang Kedaulatan” Tema Sambutan Hari Tentera Darat ke-88

By 2 Mac 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorshazana Shaadan (Port Dickson)/Berita Tentera Darat Malaysia

PORT DICKSON, 2 Mac (Malaysiaaktif) – Strategi serta pendekatan baharu yang lebih menyeluruh perlu diambil bagi menangani ancaman yang pelbagai dan kompleks.

Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain, berkata selaras dengan konsep pendekatan seluruh kerajaaan (Whole of Government – WoG) dan seluruh masyarakat (Whole of Society-WoS) maka tema “Sinergi Tentera darat dan rakyat : Tunjang Kedaulatan” telah dipilih bersesuaian dengan komitmen Tentera Darat Malaysia (TDM) yang mengutamakan kerjasama antara tentera darat, kerajaan serta masyarakat.

“TDM sentiasa komited dalam membantu kerajaan dan rakyat bukan sahaja dalam situasi konflik tetapi ketika menghadapi bencana alam atau bencana kesihatan,” katanya ketika membaca Perutusan Panglima Tentera Darat sempena Perbarisan Hari Tentera Darat ke-88 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), di sini semalam.

Ujarnya, TDM juga sentiasa bersiap sedia bekerjasama dengan agensi kerajaan lain termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia serta agensi lain yang berkaitan.

“Perancangan strategik yang dirangka adalah selaras dengan Strategi Ketenteraan Negara 2.0 dan Strategi Angkatan Masa Hadapan sebagaimana yang telah digariskan di dalam kertas putih pertahanan,” katanya.

Tambahnya lagi, bersempena Hari Tentera Darat ke-88 pada tahun ini TDM turut melancarkan Pelan Strategik ARMY 4NEXTG yang merupakan pelan pembangunan keupayaan TDM bagi tempoh 2021 hingga 2050.

“Pelan ini menekankan keupayaan TDM untuk beroperasi di dua wilayah secara serentak iaitu di wilayah barat dan timur serta menekankan aspek persekitaran operasi pelbagai domain yang berasaskan teknologi, kebersamaan, kebolehoperasian dan berorientasikan misi.

“Selain itu, ia turut menyentuh pembangunan sumber manusia dan latihan yang berteraskan Knowledge Based serta pengurusan sumber logistik dan kewangan secara bersasar,” ujarnya lagi.

Perbarisan Hari Tentera Darat ke-88 pada tahun ini diadakan secara sederhana dan berskala kecil, bagi memastikan pematuhan norma-norma baharu sebagaimana digariskan di dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan.

Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Mohammad Ab Rahman dan Panglima Medan Barat Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan.

-FF

Tinggalkan komen anda