Laporan/foto: Hasrulazlinda Hassan/Razali Kamarudin (Kuala Pilah)
KUALA PILAH, 12 Mac (Malaysiaaktif) – Sebelum kewujudan sistem e-Adat, pengumpulan maklumat keseluruhan tanah adat di Kuala Pilah dilakukan secara manual, yang mana ada sesetengah pemilik tidak mengetahui mereka daripada suku apa untuk dimasukkan dalam geran hak milik tanah tersebut.
Menurut Timbalan Pentadbir Tanah Ahmad Farid Rizal Noordin, sistem e-Adat ini dibangunkan dengan menggunakan sistem Personal Home Page (PHP) dan Apache Web Server yang merupakan sistem dalaman yang dibangunkan dengan kepakakaran unit teknologi maklumat dengan kerjasama unit Pendaftaran Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah (PDTKP).
“Sistem yang dibangunkan ini juga tidak melibatkan sebarang kos, dan kerja-kerja pengumpulan data untuk sistem ini telah dimulakan sejak dari tahun 2017 hingga 2020.
“Pengumpulan data hakmilik sebanyak 11,256 hakmilik telah dimasukkan ke dalam sistem e-Adat ini termasuklah senarai suku, Dato-Dato Lembaga, Buapak dan Luak yang berkenaan mengikut kawasan yang telah ditentukan,” katanya yang ditemui di PDTKP, di sini baru-baru ini.
Menurut Ahmad Farid, tercetusnya idea untuk mewujudkan sistem e-Adat ini adalah bermula dari tahun 2016, semasa Pegawai Daerah Kuala Pilah Mohd Faizal Abdul Manap, bertugas sebagai Timbalan Pentadbir Tanah pada masa tersebut.
“Ketiadaan sumber maklumat mengenai suku dan Dato Lembaga yang spesifik bagi setiap hak milik juga menjadi antara faktor sistem ini dicipta.
“Keunikan Negeri Sembilan yang mengamalkan Adat Perpatih, yang mana terdapat 12 suku, serta setiap tanah adat mesti dimasukkan nama suku dan juga Dato Lembaga yang bertanggungjawab atas tanah tersebut agar terpelihara daripada anasir-anasir jahat.
“Buat masa ini, hanya Kuala Pilah sahaja yang mempunyai sistem e-Adat ini sebelum disebarluaskan ke daerah-daerah lain,” katanya.
Sistem ini boleh diakses dengan menggunakan laman web http://pdtkp.ns.gov.my/e-adat/ yang mana ia adalah terbuka kepada orang ramai untuk mengaksesnya.
-FF