Laporan/foto: Mohd Muhaimin Amran (Melaka)
MELAKA TENGAH, 15 April (Malaysiaaktif) – Kerajaan negeri menggalakkan kerjasama daripada badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.
Ketua Menterinya Datuk Seri Sulaiman Md Ali, NGO merupakan tonggak yang sangat penting bersinergi dengan pihak kerajaan dalam membantu golongan ini agar turut merasai suasana sebenar bulan Ramadan.
“Sebanyak 660 Pakej Bantuan melibatkan jumlah sebanyak RM65,000.00 sempena Ramadan kali ini akan diserahkan kepada pegawai-pegawai daerah di negeri ini untuk diagihkan melalui penghulu-penghulu kemudian akan diserahkan terus kepada golongan asnaf di Peringkat Dewan Undangan Negeri Melaka (DUN) bagi mengurangkan bebanan menyambut Ramadan pada kali ini.
“Pakej bantuan keperluan barangan keperluan harian ini perlu diteruskan setiap tahun kerana ia merupakan inisiatif yang sangat baik untuk membantu golongan yang memerlukan selain merupakan langkah terbaik mendekati rakyat daripada pelbagai lapisan sejajar dengan slogan baharu negeri “Melakaku Maju Jaya, Rakyat Bahagia, Menggamit Dunia”,” katanya ketika merasmikan Program Kebajikan Sumbangan Ramadan 2021 di Seri Bendahara, di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, penganjur program Presiden Majlis Datuk-Datuk Negeri Melaka (MDDNM) Datuk Wira Jahaya Mat, berkata inisiatif ini dilaksanakan sebagai satu bentuk tanggungjawab kepada mereka yang memerlukan dengan kerjasama pejabat daerah di Negeri Melaka bersama penghulu-penghulu Mukim.
“Kebanyakan penyumbang-penyumbang terdiri daripada ahli MDDNM dan syarikat-syarikat ahli MDDNM sendiri yang telah menyumbang bukan setakat wang ringgit mahupun barang keperluan sahaja, akan tetapi sumbangan melalui program-program pendidikan bagi mengurangkan beban ibu bapa pelajar dan membantu pelajar mencapai kecemerlangan akademik turut menjadi keutamaan MDDNM,” katanya.
-FF