Laporan/foto: Siti Nabila Bohari (Johor)/SWM Environment
JOHOR BAHRU, 14 April (Malaysiaaktif) – Syarikat SWM Environment Sdn. Bhd menyediakan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di 84 buah lokasi bazar Ramadan di sekitar negeri ini.
Menurut Pengurus Besar Korporat SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin, menerusi satu kenyataan media perkhidmatan ini melibatkan 10 kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan penglibatan seramai 170 orang pekerja.
“Kelancaran operasi ini memerlukan kerjasama daripada para peniaga untuk menguruskan sisa perniagaan mereka secara tertib dan memastikan kebersihan di tapak-tapak bazar Ramadan.
“Pihak syarikat juga bersedia memenuhi keperluan para penduduk di kawasan yang berkepadatan umat Islam bagi membantu mereka membuat persiapan dan pembersihan kediaman menjelang sambutan Aidilfitri nanti,” katanya.
Menurut Norlisam, penduduk hanya perlu melaksanakan pengasingan sisa pepejal dan memanfaatkan perkhidmatan kutipan berjadual yang diadakan seminggu sekali bagi melupuskan sisa pukal, sisa kebun dan barangan kitar semula.
“Komuniti setempat dan para peniaga bazar Ramadan disarankan untuk memanfaatkan program KITARecycle SWM Environment bagi menguruskan barangan kitar semula sekali gus memperoleh wang tunai melalui penebusan mata ganjaran terkumpul secara dalam talian dengan menggunakan aplikasi yang boleh dimuat turun daripada apple store dan google play store.
“Orang ramai juga diminta untuk mengawal sisa makanan melalui Kempen Hargai Makanan Elak Pembaziran sepanjang bulan ini,” katanya.
-NI-