Laporan/foto: Aneta Ahmad/Zulkifli Othman (Dungun)
DUNGUN,14 April (Malaysiaaktif)– Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli menyampaikan ucapan tahniah kepada Majlis Perbandaran Dungun (MPD) kerana berjaya mewujudkan satu taman khas bagi menempatkan kucing terbiar yang ditemui di daerah ini.
“Islam mewajibkan berbuat ihsan kepada semua makhluk meliputi manusia, tumbuhan juga haiwan dan kucing merupakan binatang kesayangan Rasulullah SAW. Justeru, langkah yang diusahakan oleh MPD adalah mulia dan patut dicontohi oleh pihak yang lain,” katanya.
Menurut Yang DiPertua MPD, Lizan Che Mat, Taman Kucing Dungun adalah inisiatif MPD untuk memastikan kawasan tumpuan awam bebas daripada gangguan kucing jalanan dan memastikan haiwan ini terjaga.
“Inisiatif ini telah dimulakan pada tahun 2012 di Teluk Lipat namun telah berpindah ke Taman Rimba Bukit Bauk pada awal Julai 2020 kerana kawasan ini lebih sesuai sekaligus menjadi destinasi pilihan bagi pencinta kucing.
“Taman ini boleh menempatkan sehingga 150 ekor kucing dan jumlah semasa pada masa sekarang sebanyak 90 ekor,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Taman Kucing Dungun & Pelancaran Direktori Daerah Dungun, di sini baru-baru ini.
Katanya, buat masa sekarang pihak MPD tidak menerima sebarang kucing peliharaan yang ingin dihantar oleh mana-mana individu dan pihaknya mengalu-alukan individu yang berminat untuk mengambil kucing di sini untuk dijadikan kucing peliharaan yang diberikan secara percuma.
“Taman ini dijaga oleh kakitangan MPD dan waktu operasi Taman ini adalah pada setiap hari bermula pukul 7.30 pagi sehingga 4.39 petang.
Pengunjung taman juga digalakkan untuk menyumbang makanan, ubat-ubatan, peralatan dan sumber kewangan untuk menampung keperluan kucing,” tambah Lizan.
Sarimah Tahir, 45 dari Stray Cats Community berkata taman ini sesuai dijadikan pusat rekreasi untuk keluarga yang cintakan alam semulajadi tambahan pula MPD tidak mengenakan sebarang bayaran masuk kepada pengunjung.
“Langkah MPD mewujudkan penempatan khas bagi kucing liar amat disokong kerana kucing liar biasa dipandang jijik dan tidak disenangi bila berada di kedai makan,” katanya.
Sementara itu, Nik Hafiz Nik Abdul Hadi, 53 juga memaklumkan bahawa beliau dan rakan-rakan mengambil inisiatif memberi makan kepada kumpulan kucing liar di kawasan pasar.
Mohd Amin Abdul Aziz, 58, pula hadir ke majlis tersebut bagi mewakili pihak majikan untuk menyampaikan sumbangan sebagai tanda sokongan di atas inisiatif pihak MPD.
Dalam majlis tersebut, pelbagai pihak tampil menyampaikan sumbangan, memberi sokongan di atas usaha yang dilaksanakan oleh MPD bagi memelihara kucing liar juga memupuk kasih dan cintakan bintang.
Selain itu, MPD juga telah berjaya menghasilkan sebuah direktori yang menyediakan maklumat berkaitan tempat menarik, jabatan kerajaan, pusat pengajian tinggi dan masjid yang terdapat di daerah ini.
-ii-