Laporan/foto: Hazlinah Samsir/Mastim Kiriman (Kota Kinabalu)
RANAU, 18 April (Malaysiaaktif) – Kerajaan berhasrat menaik taraf tiga jalan di daerah ini bagi meningkatkan mobiliti sosial dan ekonomi penduduk.
Timbalan Menteri Dalam Negeri II Jonathan Yasin, memaklumkan peruntukan sebanyak RM750 juta diperlukan untuk melaksanakan projek menaik taraf jalan Tarawas-Karagasan, Bongkud-Mansalu dan Pinousok-Kouluan.
“Kerajaan berusaha membawa tiga projek besar ke Ranau iaitu projek naik taraf jalan raya untuk kemudahan penduduk.
“Tiga jalan yang bakal dinaik taraf adalah jalan Tarawas-Karagasan, Bongkud-Mansalu dan Pinousok-Kouluan.
“Maklumat terkini daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), projek di Jalan Tarawas-Karagasan sepatutnya dimulakan pada tahun lepas namun dikenakan waran sekatan akibat pandemik yang melanda negara.
“Namun, ia adalah projek untuk dilaksanakan pada tahun ini dan kita berharap akan menerima berita baik dalam masa terdekat mengenai projek tersebut,” katanya ketika ditemui media dalam Program Malaysia Prihatin, Kementerian Dalam Negeri di Kampung Timbua, di sini kelmarin.
Tambah beliau, projek-projek tersebut dapat dilaksanakan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diisytiharkan, fokus utama kerajaan adalah memastikan bantuan bagi golongan terjejas dapat disampaikan secepat mungkin.
“Selain itu, Perdana Menteri juga peka dengan keperluan pembangunan serta rakyat di Sabah dengan mendapatkan maklumat daripada pemimpin negeri,” ujar beliau.
Pada program itu, Jonathan menyampaikan sumbangan kepada 100 asnaf, ibu tunggal dan Orang Kurang Upaya (OKU).
Turut berlangsung, gerai pameran oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Sabah bagi memudahkan penduduk membuat kad pengenalan, mendaftar vaksin dan mendapatkan info terkini mengenai dasar negara.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri Datuk Ramlan Harun, Pengarah Imigresen Sabah Datuk Muhamad Sade Mohamad Amin, Pengarah JPN Khairrul Aminus Kamaruddin, Pegawai Daerah Ranau Syahrin Samsir, ketua-ketua jabatan dan agensi di bawah KDN.
– RI