Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

3,733 Kes Baharu, Kes Kematian Tertinggi dengan 26 Kes

By 10 Mei 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 10 Mei (Malaysiaaktif) – Jumlah kes baharu COVID-19 di Malaysia menunjukkan penurunan apabila mencatat 3,733 kes selepas dua hari merekodkan kes positif harian lebih 4,000, namun terdapat 26 kes kematian dilaporkan semalam, iaitu jumlah tertinggi setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan terbaru itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif di negara ini ialah 440,677, manakala angka keseluruhan kes kematian akibat wabak itu meningkat kepada 1,683 orang.

Beliau berkata pecahan kes baharu merangkumi 3,727 kes penularan tempatan dan hanya enam kes import, sementara jumlah kes aktif kini sebanyak 37,060.

“Kes kematian melibatkan 25 warganegara dan seorang warga asing berumur antara 49 hingga 85 tahun dengan majoritinya mempunyai latar belakang penyakit kronik,” katanya dalam kenyataan rasmi mengenai perkembangan COVID-19 di sini semalam.

Kelmarin, Malaysia melaporkan jumlah kematian tertinggi dengan 25 kes.

Dr Noor Hisham berkata Selangor masih merekodkan jumlah kes harian tertinggi dengan 1,278 kes diikuti Sarawak (454), Johor (365) dan Kuala Lumpur (338), Pulau Pinang (280 kes), Kelantan (254) dan Negeri Sembilan (205)

Kedah pula mencatatkan 176 kes diikuti Pahang (100), Perak (80), Sabah (61), Melaka (66), Putrajaya (20) dan Labuan dengan enam kes, manakala Perlis hanya satu kes.

Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 3,211 kes sembuh dicatatkan dalam tempoh sama menjadikan jumlah keseluruhan pesakit pulih kini 401,934, sementara 416 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 216 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Ketua Pengarah Kesihatan itu turut memaklumkan 13 kluster baharu dikesan semalam melibatkan lima kluster di tempat kerja, lima kluster komuniti, dua kluster keagamaan dan satu kluster institusi pendidikan swasta yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Kluster di tempat kerja membabitkan Kluster Jalan Satu dan Kluster Lorong Tiung di Selangor; Kluster Tapak Bina Jalan Tun Hussein Onn dan Kopitiam Kampung Selamat di Pulau Pinang serta Kluster Kawasan Industri Dua di Johor,

“Kluster Komuniti melibatkan dua di Sarawak iaitu Kluster Jalan Stadium Negeri dan Kluster Tebedu Mawang; Kluster Sri Tualang (Kelantan); Kluster Jalan L Sungai Behrang (Perak) serta Kluster Lak Lok (Terengganu dan Kelantan).

“Kluster keagamaan ialah Kluster Jalan Haji Mahmud (Johor) dan Kluster Tanah Merah Keagamaan (Negeri Sembilan) manakala Kluster Desa Murni di Pulau Pinang adalah kluster institusi pendidikan swasta yang berdaftar di bawah KPM.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda