
Laporan/foto: U. Prakash (Daerah Barat Daya)
BAYAN BARU, 10 Mei (Malaysiaaktif) – Komuniti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Mahsuri melalui program Sumbangan Amal Bagi Tahun 2021 menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas kepada seramai 50 penerima golongan B40 daripada pelbagai kaum yang menetap di kawasan perumahan Jalan Mahsuri, di sini baru-baru ini.
Pengerusi KRT Mahsuri Zulkifli Eusof berkata, bantuan ini merupakan salah satu inisiatif bagi meringankan beban ibu bapa dan ketua keluarga dari kumpulan B40 yang terjejas ekoran pandemik COVID-19.
“Barang keperluan asas yang berupa beras, tepung, minyak masak dan sebagainya itu adalah disumbangkan oleh pihak pengurusan Kawasan Rukun Tetangga Mahsuri.

Kakitangan Pejabat Penerangan Daerah Barat Daya membuka kaunter pendaftaran vaksinasi kepada para hadirin.
“COVID-19 menyebabkan golongan miskin paling terkesan dengan krisis ini akibat kehilangan pendapatan supaya tidak perlu berlapar lagi,” katanya semasa Majlis Penyampaian Sumbangan Amal Bagi Tahun 2021.
Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Barat Daya Marshita Othman, berkata program ini juga bertujuan memberikan penjelasan serta pemahaman kepada masyarakat tentang kebaikan mengambil vaksin COVID-19.
“Suntikan ini tidak sakit dan saya yakin serta percaya kalau semua sokong Program Imunisasi ini, kita akan menang lawan COVID-19,” katanya.
Satu slot taklimat turut disampaikan oleh Inspektor Abdul Mujib Abu Bakar daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya berkaitan isu keselamatan, trend jenayah setempat dan pencegahan jenayah dalam program tersebut.

Taklimat Isu Keselamatan, Trend Jenayah dan Pencegahan Jenayah oleh Insp. Abdul Mujib Abu Bakar dari IPD Barat Daya.
Turut hadir, Pemangku Pengarah Jabatan Perpaduan dan Integriti Nasional Negara Negeri Pulau Pinang Ahmad Fuat Junus dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Mahsuri Syed Baharuddin Syed Hashim.
-ii-