
Laporan/foto: Musliha Yusof (Batu Pahat)
BATU PAHAT, 13 Mei (Malaysiaaktif) – Kemeriahan Syawal amat dirindui oleh masyarakat di sini setelah seluruh dunia dilanda pandemik COVID-19 sejak tahun lalu.
Menjelang sambutan Syawal yang bakal tiba, ahli-ahli Persatuan Pelita Kampung Baru Sri Gading berganding bahu memasang pelita bagi memeriahkan lagi suasana sambutan Hari Raya.
Menurut Pengerusi Persatuan Pelita Mohd Azam Isnin, 46, ahli-ahli persatuan ini yang dianggotai oleh 22 orang penduduk Kampung Baru Sri Gading berganding bahu bagi memastikan tradisi dan warisan terus dihidupkan.
“Pada tahun ini, kami mengadakan aktiviti gotong-royong untuk membina masjid gergasi menggunakan pelita yang mana ia sudah dimulakan sebulan sebelum tibanya bulan Ramadan.
“Bilangan pelita yang digunakan adalah mengikut jumlah tahun di mana pada tahun ini kami menggunakan sebanyak 2,021 pelita untuk menghasilkan replika masjid ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Baru Sri Gading, di sini, semalam.
Tambah beliau, setiap ahli persatuan ini telah menyumbangkan RM100 seorang bagi membeli barang-barang keperluan yang diperlukan bagi merealisasikan impian ini.
“Tradisi memasang pelita di kawasan kampung ini sesuatu yang tidak asing lagi yang mana saya berharap aktiviti seumpama ini akan menjadi kesinambungan kepada generasi yang akan datang.
“Saya membesar di kampung ini di mana kemeriahan dalam menyambut bulan Ramadan dan Syawal memang akan sentiasa dirasai pada setiap tahun,” ujarnya.
Azam berkata, berikutan pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak tahun lepas, segala kemeriahan sambutannya telah lenyap.
“Oleh itu, bagi mengembalikan kemeriahan suasana menjelang bulan Syawal di kampung ini, ahli-ahli persatuan berganding bahu mewujudkan suasana ceria dalam suasana norma baharu dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
“Kerjasama dan semangat yang ditunjukkan ahli persatuan ini wajar dicontohi bagi memupuk semangat kerja berpasukan serta mengeluarkan idea yang bernas dalam menghasilkan kreativiti persekitaran yang menarik,” ujarnya lagi.
-NI-