Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedahMA

LADA Sumbang Makanan dan Keperluan Asas Bantu Komuniti Langkawi PKP 3.0

By 17 Jun 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Nazri Saparudin (Langkawi)

LANGKAWI, 17 Jun (MalaysiaAktif) – Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menyerahkan sumbangan makanan dan keperluan asas  kepada komuniti Langkawi yang terkesan sepanjang pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif LADA Nasaruddin Abdul Muttalib, berkata sumbangan ini merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) LADA kepada komuniti Langkawi bagi mendepani kesukaran hidup sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang diumumkan oleh kerajaan.

“Objektif sumbangan ini adalah untuk menyantuni dan meringankan beban yang ditanggung oleh komuniti Langkawi yang terkesan akibat kelumpuhan sektor perlancongan di Langkawi ekoran penularan pandemik COVID-19.

“Antara golongan komuniti Langkawi yang terkesan akibat penularan wabak ini ialah golongan yang bekerja sendiri seperti penggiat-penggiat industri pelancongan, pemandu teksi, perhotelan, pemandu pelancong, pengusaha homestay dan lain-lain yang terpaksa menghentikan operasi perkhidmatan mereka ekoran arahan PKP dan juga bagi mengekang penularan wabak COVID-19,” ujarnya setelah selesai mengagihkan sumbangan makanan asas kepada komuniti Langkawi secara pandu lalu di hadapan Pejabat Pemandu LADA, di sini hari ini.

Nasaruddin menyampaikan sumbangan kepada pemandu teksi.

Nasaruddin menyampaikan sumbangan kepada pemandu teksi.

Yang Dipertua Persatuan Pemandu Teksi Langkawi, Mohd Bunyamin Abd Rahman berkata pihak persatuan amat berterima kasih kepada LADA dan agensi-agensi lain yang menyampaikan sumbangan kepada golongan pemandu teksi pada hari ini kerana sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan komuniti yang terkesan akibat COVID-19 akibat kehilangan punca pendapatan.

“Semua pemandu teksi mengharapkan pemulihan segera namun mereka akur dengan keadaan semasa dan oleh sebab itu pemandu teksi perlu berubah dengan mencari altenatif lain untuk mencari sumber pendapatan baru demi kelangsungan hidup semasa pandemik COVID-19 kini.

“Kami berharap sekiranya keadaan sudah pulih seperti sedia kala kelak, pihak kerajaan, swasta serta agensi lain tidak melupakan golongan pemandu teksi dan bersedia membantu kami mendapatkan sumber pendapatan serta  merancakkan kembali industri pelancongan di Malaysia amnya dan di Pulau Langkawi khususnya,” ujarnya.

Sumbangan berkala iaitu secara mingguan bermula pada 6 Jun lalu dengan nilai keseluruhan sebanyak RM30 ribu yang melibatkan 12 persatuan di Langkawi setakat ini telah berjaya membantu seramai 270 pengusaha daripada sektor pelancongan yang kehilangan pekerjaan secara tetap.

Penyaluran sumbangan dalam bentuk makanan dan keperluan asas ini akan diserahkan kepada wakil persatuan yang terlibat di lokasi yang dipersetujui oleh pihak berkuasa dengan pemantauan oleh Angkatan Pertahanan Awam, Cawangan Langkawi serta Polis Diraja Malaysia.

~RJ~

Tinggalkan komen anda