Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

PKP 3.0 Dilanjut Sehingga 28 Jun

By 12 Jun 2021Tiada komen1 minit bacaan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 12 Jun (Malaysiaaktif) – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) yang dijadualkan sehingga Isnin ini, disambung dua minggu lagi hingga 28 Jun berikutan jumlah kes harian COVID-19 yang masih tinggi.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu diputuskan dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam setelah menerima cadangan dan pembentangan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira jumlah kes harian masih tinggi melebihi 5,000 sehari dengan purata kes baharu sehingga semalam (Khamis) ialah 6,871,” katanya dalam satu kenyataan media di sini semalam.

Ismail Sabri menjelaskan senarai prosedur operasi standard (SOP) bagi setiap aktiviti perkilangan, perniagaan dan industri masih kekal seperti mana diumumkan sebelum ini yang boleh dirujuk dari laman sesawang kementerian berkaitan.

Katanya maklumat lanjut SOP pula boleh diperoleh menerusi laman sesawang MKN di www.mkn.gov.my.

Ismail Sabri berkata memandangkan semua senarai SOP adalah sama seperti sebelum ini, maka beliau berharap tiada lagi kekeliruan dalam pelaksanaan penguatkuasaan SOP di lapangan yang akan mengakibatkan rakyat terkesan.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda