Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Suami Teruja Kedua-dua Isteri Terima Vaksin

By 21 Jun 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Salleh Immun (Sarawak)

SRI AMAN, 21 Jun (Malaysiaaktif) – Seorang penjawat awam, Suaidie Yusup, 38, berasa teruja apabila kedua-dua isterinya telah berjaya menerima vaksin mereka yang pertama secara serentak di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) COVID-19 Dewan Suarah Sri Aman.

Isteri pertamanya, Hazibah Monel, 38, dan isteri kedua, Nurdiana Iman Kalang, 32, begitu gembira apabila menerima panggilan telefon daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia memaklumkan mereka berdua untuk menerima vaksin dos pertama Pfizer-Biontech bagi janji temu vaksin 9.45 pagi semalam.

“Saya cukup gembira kerana kedua-dua isteri telah menerima vaksin dos pertama setelah menunggu hampir empat bulan sejak mula mendaftar secara maya melalui aplikasi mySejahtera.

“Berkat kesabaran menanti dan yakin bahawa giliran untuk divaksin akan tiba menjadikan peristiwa hari ini sungguh istimewa buat diri serta kedua-dua isteri,” katanya yang ditemui ketika menemani isteri-isterinya di PPV tersebut, di sini semalam.

Menurut Suaidie, kedua-dua isterinya juga kerap membuat semakan serta kemas kini data pendaftaran vaksin COVID-19 setiap hari dengan harapan begitu tinggi untuk dipanggil mendapatkan vaksin mereka.

“Saya amat gembira apabila mengetahui kedua-dua isteri dipanggil untuk menerima vaksin bagi dos pertama mereka pagi ini (Ahad).

“Kemudiannya, saya bergegas membawa dan mengiringi kedua-dua isteri saya ke PPV ini,” kata Juruaudio Visual Jabatan Penerangan (JaPen) Daerah Sri Aman ini.

Beliau yang telah lengkap menerima suntikan vaksin COVID-19 berasa lega kerana ahli keluarganya juga sudah menerima suntikan tersebut dan menyeru rakyat untuk mendapatkan suntikan vaksin ini.

“Jangan dengar hasutan serta dakyah negatif yang sengaja disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab kerana seharusnya sebagai rakyat yang bertanggungjawab kita harus menyahut seruan kerajaan menerima vaksin ini sebagai salah satu langkah ke depan bagi membendung penularan pandemik COVID-19,” ujarnya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda