Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Masyarakat Sokong Tambah PPV Warga Emas, OKU

By 21 Jun 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Nor Emylia Lot/Tengku Saifulah Tengku Mohamed (Kuala Nerus)

KUALA NERUS, 21 Jun (Malaysiaaktif) – Majoriti masyarakat setempat menyokong penuh cadangan Kerajaan negeri Terengganu untuk menambah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di kawasan pedalaman di negeri ini.

Ini berikutan ia akan memudahkan warga emas dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) untuk mendapat suntikan vaksin COVID-19.

Awal bulan lalu, di dalam satu kenyataan media, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri Hanafiah Mat, berkata PPV itu akan digerakkan membabitkan seramai 50 petugas klinikal.

Menurut Zaipah Abdullah, 59, berkata cadangan Kerajaan Negeri untuk mewujudkan PPV di kawasan pedalaman disambut baik kerana ia bertepatan dengan situasi kritikal ketika ini.

“Situasi ketika wabak ini, sangat mencabar bagi segelintir warga emas dan OKU ketika ini untuk keluar ke pusat PPV yang disediakan oleh kerajaan. Ini kerana kebanyakan mereka tinggal di kawasan pedalaman,” katanya ketika ditemuramah ketika menunggu untuk mendapatkan suntikan vaksin di PPV Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, di sini.

Zaipah mengharapkan lebih ramai warga emas dan golongan OKU mendaftar vaksin.

Zaipah mengharapkan lebih ramai warga emas dan golongan OKU mendaftar vaksin.

Tambah Zaipah, usaha Kerajaan Negeri tersebut perlu disokong dan masyarakat perlu memainkan peranan dengan lebih agresif memberi galakan kepada 40 peratus lagi golongan warga emas untuk membuat pendaftaran suntikan vaksin.

“Ahli keluarga, komuniti dan badan bukan kerajaan (NGO) perlu melaksanakan pendekatan whole of society bagi memastikan maklumat berkaitan program vaksinasi itu sampai kepada warga emas dan golongan OKU,” katanya.

Di samping itu, warga emas, Saari Abdullah, 67, berkata beliau menyuruh cucunya mendaftar suntikan vaksin melalui aplikasi MySejahtera kerana sedar betapa pentingnya pengambilan vaksin ketika wabak ini.

Saari berasa lega selepas berjaya mendapatkan suntikan vaksin bagi dos yang pertama di PPV Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu.

Saari berasa lega selepas berjaya mendapatkan suntikan vaksin bagi dos yang pertama di PPV Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu.

“Saya gembira kerana telah diberi suntikan vaksin dan berharap warga emas yang lain segera mendaftar dan dipanggil untuk diberikan vaksin,” katanya selepas menerima suntikan vaksin di PPV berkenaan.

Menurut Salimah Sulaiman, 61, berkata sehingga kini masyarakat yang berdaftar termasuk melalui sistem MySejahtera untuk mendapatkan suntikan vaksin masih rendah, berbanding negeri lain.

“Pendaftaran untuk program imunisasi di negeri ini masih rendah dan kita khuatir ia akan mengganggu hasrat kerajaan yang menyasarkan 70 peratus dapat diselesaikan sebelum hujung tahun ini,” katanya.

Salimah mengharapkan masyarakat yang tinggal di pedalaman tidak terpedaya dengan pelbagai hasutan untuk menolak vaksin.

Salimah mengharapkan masyarakat yang tinggal di pedalaman tidak terpedaya dengan pelbagai hasutan untuk menolak vaksin.

“Cadangan mewujudkan PPV di kawasan pedalaman, mampu menarik sebahagian warga emas, golongan OKU dan sebahagian masyarakat setempat khususnya yang sukar keluar ke bandar untuk mendaftar sekaligus mendapatkan vaksin dengan segera,” katanya.

Tambah Salimah lagi, masyarakat terutama warga emas dan golongan berisiko diharap tidak terpengaruh dengan dakyah memburuk-burukkan vaksin.

“Masyarakat yang tinggal di pedalaman disarankan tidak terpedaya dengan pelbagai hasutan, terutama dakwaan boleh mendatangkan pelbagai penyakit sehingga membawa maut, jika mengambil suntikan vaksin COVID-19,” katanya.

-ii-

Tinggalkan komen anda