Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Vaksinasi COVID-19 Bersasar Inisiatif Kekang Penularan Wabak di Taman Desawan

By 18 Julai 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Marina Hila Idris/Muhamad Hafiz Muhamad (Klang)

KLANG, 18 Jul (Malaysiaaktif) – Seramai 1,428 orang penduduk Taman Desawan telah diberi suntikan vaksinasi COVID-19 bagi mengekang penularan jangkitan tersebut dalam kalangan komuniti.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari, berkata program ini adalah yang pertama dilaksanakan di Selangor dan merupakan pendekatan baharu oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Pejabat Kesihatan Daerah Klang dan Pejabat Tanah dan Daerah Klang untuk melindungi lokaliti yang mempunyai kadar jangkitan yang tinggi.

“Selain melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), vaksinasi bersasar di taman perumahan dilaksanakan mengikut kesesuaian dan bergantung kepada kemudahan yang terdapat di sekitar kawasan tersebut.

“Jumlah kematian yang tinggi di Selangor mutakhir ini kerana pesakit belum divaksin terutama golongan rentan dan mempunyai komorbiditi,” katanya semasa menghadiri Program Outreach Vaksinasi COVID-19 di Taman Desawan, Klang, hari ini.

Penduduk Taman Desawan beratur memasuki pusat vaksinasi.

Penduduk Taman Desawan beratur memasuki pusat vaksinasi.

Amirudin berkata, 90 peratus warga emas di Selangor telah divaksin yang menyumbang kepada penurunan 40 peratus kes daripada golongan ini yang perlu dirawat di hospital akibat jangkitan COVID-19.

“Langkah mempercepatkan vaksinasi COVID-19 melalui vaksinasi bersasar dan Program Vaksin Selangor (SELVAX) komuniti akan disambung di beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas Hari Raya Aidiladha dengan kadar 2,000 dos bagi setiap Dewan Undangan Negeri.

Sementara itu, seorang penerima vaksin, Haslina Napiah, 57, berasa teruja menerima suntikan vaksin jenis Pfizer dalam program perintis ini.

“Proses suntikan amat cepat dan program ini memudahkan golongan tua untuk datang ambil vaksin kerana dekat dengan tempat kediaman.

Amirudin Shari ditemuramah selesai melihat proses vaksinasi di Pusat Kebudayaan Soka Gakkai Cawangan Selangor.

Amirudin Shari ditemu ramah selesai melihat proses vaksinasi di Pusat Kebudayaan Soka Gakkai Cawangan Selangor.

“Saya telah dijangkiti COVID-19 tahap empat tiga bulan yang lalu dan memerlukan bantuan oksigen untuk bernafas selama lapan hari di Hospital Sungai Buloh.

“Peluang untuk mendapatkan vaksinasi COVID-19 memang dinantikan kerana mahu melindungi diri dan keluarga setelah saya kehilangan lima orang rakan kejiranan ini akibat COVID-19,” katanya yang turut ditemani ahli keluarga.

Dalam program berkenaan, keseluruhan penduduk Taman Desawan yang terdiri daripada warganegara dan bukan warganergara telah melalui proses bancian dan saringan, sebelum terpilih untuk divaksinasi.

-RI

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda