Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Dua Masjid di Tangkak Terima Sumbangan Van Jenazah

By 19 Julai 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Nurshahrina Amran/Kartina Saruni (Tangkak)

TANGKAK, 19 Jul (Malaysiaaktif) – Hasrat pengurusan dua buah masjid di daerah ini untuk memiliki van jenazah sendiri akhirnya tercapai apabila menerima sumbangan kenderaan tersebut daripada YPJ Holding Sdn. Bhd. yang disampaikan oleh Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad.

Menurut Imam Masjid Jamek At Taqwa Batu Lima Tanjung Gading Barat Abdul Rahman Abdul Karim, sebelum ini pihak masjid terpaksa meminjam van jenazah dari masjid berdekatan dan ia amat menyukarkan ahli jawatankuasa (AJK) untuk menguruskan jenazah.

“Pihak kami amat berterima kasih dengan sumbangan ini yang secara tidak langsung dapat membantu memudahkan urusan ahli kariah,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kunci Van Jenazah di Pejabat Jawatankuasa Penyelaras Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Serom, di sini kelmarin.

Wakil penerima kunci van jenazah sumbangan YPJ Holding Sdn. Bhd.

Wakil penerima kunci van jenazah sumbangan YPJ Holding Sdn. Bhd.

Wakil Masjid Kampung Layang Rosly Talib berkata beliau bersyukur dan berterima kepada kerajaan negeri dan YPJ Holding Sdn. Bhd. atas sumbangan van jenazah ini.

“Sumbangan ini memberi makna yang sangat besar kepada kami seluruh warga kariah di sekitar Masjid Kampung Layang ini,” ujarnya.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif YPJ Holding Datuk Amran A Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras DUN Serom Datuk Rahim Talib dan Pegawai Daerah Tangkak Mohammed Shakib Ali.

Pada masa yang sama, Menteri Besar turut menyampaikan set sanitasi kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) orang muda dan penyerahan bakul makanan kepada lima penerima yang tinggal di sekitar Sungai Mati.

-NI-

Tinggalkan komen anda