Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

PPV ADTEC Mula Beri Suntikan Vaksin Kepada Pelajar Sekolah

By 25 September 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Azrul Azham/Basharudin Md Yasin (Jerantut)

JERANTUT, 25 Sep (Malaysiaaktif) – Para pelajar tingkatan empat dan lima di sini mula menerima suntikan vaksin Pfizer Biontech di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC).

Menurut Penyelaras Vaksin Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Daerah Jerantut Dr Tengku Putri Zaharah Tengku Bahanudin, terdapat dua buah sekolah yang dijadualkan untuk menerima suntikan vaksin iaitu Sekolah Menengah Padang Saujana dan Sekolah Menengah Agama Pulau Tawar manakala bakinya akan diberikan kepada para pelajar maahad di sekitar daerah ini.

“Pihak kita akan juga akan menyediakan perkhidmatan jumpa terus khusus untuk para pelajar yang menetap di daerah ini tetapi bersekolah di daerah lain.

“Mereka digalakkan untuk jumpa terus pada sebelah petang kerana keutamaan akan diberikan kepada para pelajar dua buah sekolah yang telah dijadualkan terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui di PPV tersebut, di sini semalam.

Salah seorang pelajar yang ditemui, Mohd Adam Mukhriz, 16, berkata beliau bersyukur apabila kerajaan mengumumkan bahawa golongan pelajar yang berusia 16 dan 17 tahun akan diberikan vaksin.

Suasana di PPV Pusat Latihan Teknologi Tinggi Jerantut.

Suasana di PPV Pusat Latihan Teknologi Tinggi Jerantut.

“Saya gembira dapat kembali meneruskan persekolahan selepas menerima suntikan vaksin ini yang secara tidak langsung dapat melindungi diri saya dan keluarga dari jangkitan COVID-19,” ujarnya.

Adam turut berkata pada mulanya beliau berasa agak gementar untuk menerima suntikan berikutan berita-berita yang tersebar luas di laman media sosial sebelum ini berkaitan vaksin COVID-19.

“Kawan-kawan mengajak saya untuk menerima vaksin ini dan ada juga yang menasihati agar tidak terlalu mempercayai berita-berita palsu di laman media sosial.

“Akhirnya saya tekad untuk memberanikan diri menerima suntikan dos pertama vaksin,” tambahnya.

Di daerah ini juga terdapat tiga buah Pusat Pemberian Vaksin Awam iaitu Dewan ADTEC, Dewan Dato’ Chu Rahimah Kampung Paya Teh dan juga di Kuala Tahan.

-AH-

Tinggalkan komen anda