Laporan/foto : Norsuriati binti Mohd Yussof (Seremban)
SEREMBAN, 14 Okt (Malaysiaaktif) – Pembentukan akhlak yang mulia, budi pekerti yang baik, sifat sopan santun dan berbudi bahasa harus diterapkan kepada anak-anak kita pada usia yang muda.
Dengan akhlak dan hati yang baik, anak-anak akan lebih cenderung untuk memilih jalan yang betul seperti yang diajarkan dalam Islam dan ianya juga dapat menjauhkan diri mereka daripada terpengaruh kepada kemungkaran seperti penglibatan dalam kegiatan jenayah dan penyalahgunaan dadah.
Pelbagai usaha telah dilakarkan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), badan-badan masyarakat dan termasuk dari semua agensi kerajaan mahupun swasta untuk mendekati belia supaya tidak terjerumus dalam kancah jenayah.
Salaha satu inisiatif yang dilakukan adalah dengan penganjuran program “Cambah Minda” Jabatan Penerangan Negeri Sembilan bagi membuat pendekatan yang lebih baik.
Menurut panel undangan, Pegawai (Pegawai Anti Dadah) Pejabat Agensi Anti Dadah Kebangsaan Daerah Seremban, Shahrizan Kamaruzaman, golongan belia merupakan masa depan negara dan mereka perlu dibimbing bagi menjauhkan diri daripada kegiatan yang tidak bermanfaat.
“Usaha-usaha sedemikian adalah penting untuk membantu anak-anak muda kita menjauhkan diri daripada kemungkaran atau terjebak dalam kegiatan jenayah,” ujarnya ketika berucap dalam program Cambah Minda, semalam.
Manakala menurut salah seorang peserta kursus,Siti Noraisah Shaibudin, program sebegini amat bagus dimana dapat memberi kesedaran kepada golongan belia tentang pergaulan bebas bersama rakan-rakan yang kurang baik mempengaruhi untuk melakukan jenayah dan penyalahgunaan dadah.
“Sebagai masyarakat, kita memainkan peranan untuk memberi sokongan dan bimbingan kepada mereka untuk menerajui kehidupan yang berjaya dan bebas daripada kancah jenayah atau penyalahgunaan dadah,”ujarnya.
Program yang dianjurkan oleh Bahagian Gerak Saraf dan Pengurusan Isu(GSPI) Jabatan Penerangan Negeri Sembilan telah diadakan atas talian.
-FF