Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Ibu Bapa Rasa Yakin Hantar Anak ke Sekolah

By 19 Oktober 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Shaiful Nizal Ismail (Labuan)

LABUAN, 19 Okt (Malaysiaaktif) – Para ibu bapa yang ditemui semalam melahirkan rasa yakin dan terjamin untuk menghantar anak-anak mereka menjalani pembelajaran secara bersemuka di sekolah.

Menurut salah seorang bapa, Mohd Shaiful Rezwan, 31 , melahirkan kegembiraan pembukaan sesi persekolahan kerana anaknya tidak perlu lagi belajar daripada rumah.

“Ibu bapa lebih suka pembelajaran secara bersemuka kerana ada ibu bapa yang bekerja dan mempunyai kekangan masa untuk mengajar di rumah, belajar secara bersemuka lebih baik tetapi perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Mohd Shaiful Rezwan (kanan) bersama anaknya.

Mohd Shaiful Rezwan (kanan) bersama anaknya.

“Persediaan sekolah juga dilihat teratur dan ibu bapa tidak perlu takut untuk hantar anak ke sekolah kerana Labuan sudah mencapai imuniti berkelompok serta kita perlu biasakan hidup dengan COVID-19,” katanya yang ditemui semasa menghantar anaknya di Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru, di sini semalam.

Bagi Roslineh Mastin, 38, yang turut berkongsi keyakinannya menghantar anak ke sekolah untuk menjalani pembelajaran secara bersemuka.

“Sekolah memang mematuhi SOP dan saya percaya Kementerian Pendidikan mempunyai garis panduan pematuhan SOP bagi mengurangkan risiko jangkitan tambahan pula kes di Labuan semakin berkurangan.

“Hantarlah anak ke sekolah, kita tawakal dan buat yang terbaik, semua akan menjadi mudah,” jelasnya.

Jaifah Mohd Jakri (kanan) ceria menghantar anak ke sekolah.

Jaifah Mohd Jakri (kanan) ceria menghantar anak ke sekolah.

Bagi Jaifah Mohd Jakri, 38 , pula, pembukaan sekolah memberi kelegaan kepadanya kerana anaknya boleh berinteraksi secara langsung dengan guru-guru.

“Saya lebih suka anak-anak ini dapat kembali ke sekolah kerana kadang-kadang kita pun kurang faham semasa mengajar anak di rumah, saya juga yakin yang pihak sekolah dapat memberikan yang terbaik untuk para pelajar,” ujarnya.

Rasidah Dandahul, 38, turut berpuas hati dengan pelaksanaan pihak sekolah menyambut para pelajar pada sesi pembukaan sekolah semalam.

“Persiapan pihak sekolah amat memuaskan dengan mengikut SOP yang diberikan, semuanya berjalan dengan baik sekali termasuk sesi penerangan yang diberikan kepada ibu bapa sebelum ini,” kongsinya.

-RI

Tinggalkan komen anda