Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Malaysia Dipilih Sebagai Ahli Majlis MHAM

By 17 Oktober 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Dayana Bahazelan/Zayana Isa (Kuantan) 

KUANTAN, 17 Okt (Malaysiaaktif) – “Malaysia telah diberi kepercayaan melalui pelantikannya sebagai ahli Majlis Hak Asasi Manusia (MHAM) bagi penggal 2022-2024,” kata Menteri Luar Negeri Datuk Saifuddin Abdullah.

Menurut Saifuddin kepercayaan ini merupakan bukti pengiktirafan dan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap usaha dan peranan Malaysia dalam membina kesepakatan serta menyumbang terhadap kemajuan hak asasi manusia di peringkat antarabangsa.

“Malaysia akan mengambil peluang keanggotaan MHAM kali ini untuk memberi penekanan kepada kepentingan dalam memupuk semangat bekerjasama, keterlibatan yang membina dan menyeluruh, telus, saling hidup secara aman serta menghormati antara satu sama lain,” katanya lagi dalam satu sidang media di Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota, di sini, baru-baru ini.

Tambah beliau, Malaysia akan memperjuangkan hak golongan rentan selain bercadang untuk memperkasa golongan belia terutamanya dalam proses membuat keputusan di semua peringkat.

“Malaysia akan turut mengutamakan akses kepada persekitaran yang selamat, bersih, sihat, dan lestari sebagai hak asasi manusia yang perlu dilindungi dan di promosikan.

“Di persada antarabangsa, Malaysia akan terus membantah sekeras-kerasnya penindasan hak asasi manusia yang dilakukan, antaranya terhadap rakyat Palestin dan Rohingya di Myanmar dan seterusnya akan bekerjasama dalam usaha pembangunan semula Afghanistan,” ujarnya.

Beliau memaklumkan peranan MHAM akan menjadi semakin penting dalam memastikan agenda hak asasi manusia terus diketengahkan, terutamanya ketika dunia kini sedang kembali pulih daripada wabak COVID-19.

“Sehubungan itu, Malaysia akan memainkan peranan aktif dalam MHAM serta proses-proses yang berkaitan, dalam mencari persefahaman dan dapat bangkit secara aman untuk menjadi lebih kuat daripada sebelumnya, serta memastikan bahawa tiada negara yang tercicir di belakang.

“Sebelum ini, Malaysia telah menjadi anggota MHAM sebanyak dua kali, di mana negara kita telah mengambil pendekatan yang seimbang serta tidak memihak kepada mana-mana unsur politik dalam menangani isu hak asasi manusia,” tambahnya.

-AH-

Tinggalkan komen anda