Laporan/foto : Siti Hajar Kamis / Muhamad Luqmanul Hakim Azmi (Seremban)
SEREMBAN, 25 Okt (Malaysiaaktif)– Pejabat Penerangan Daerah Seremban dengan kerjasama Muafakat Olek Sekampung dan Surau As-Syaqirin telah mengadakan Sambutan Maulidur Rasul 1443H Peringkat Daerah Seremban.
Tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini iaitu “Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti” selari dengan konsep Keluarga Malaysia yang menekankan tiga teras utama iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.
Ustaz Tengku Nor Iftah Tengku Jamil dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan yang merupakan penceramah jemputan dalam program tersebut menekankan ukhwah yang baik haruslah dibentuk tanpa menghiraukan apa jua perbezaan.
“Kita jalin serta kukuhkan ukhwah tanpa mengira apa jua perbezaan dari segi latar belakang politik mahupun pekerjaan dan contoh yang terbaik adalah sambutan maulidur rasul yang dijalankan pada hari ini di mana ianya telah berjaya mengumpulkan penduduk kampung yang mungkin berbeza fahaman politik dan juga dapat mengumpulkan pelbagai agensi kerajaan dalam program ini.
“Siapa pun kita, masing-masing perlu memainkan peranan untuk memulihkan dan meningkatkan ekonomi umat Islam mengikut ajaran Al-Quran dan Sunnah serta jadikan Nabi dan rasul sebagai teladan kepada seluruh umat manusia,” katanya dalam ceramah maulidur rasul di sini, kelmarin.
Menurut Abdul Ghani Zainuddin, yang merupakan Setiausaha Pengelola Muafakat Olek Sekampung, Kampung Seliau Baru, beliau sangat menghargai kerjasama daripada Pejabat Penerangan Daerah Seremban serta semua yang terlibat dalam program ini sekaligus mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara penduduk dan agensi kerajaan.
“Alhamdulillah Program ini berjaya dianjurkan dan dijayakan dengan kerjasama yang sangat baik daripada semua pihak yang terlibat,” katanya.
Selain ceramah Maulidur Rasul, Majlis Khatam Al-quran dan penyampaian kotak rezeki juga adalah antara pengisian program pada hari tersebut.
-FF