Laporan/foto: Rahman Ishak (Putrajaya)
PUTRAJAYA, 19 Nov (Malaysiaaktif) – Pelaksanaan projek bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) kini berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, berkata Mesyuarat Jemaah Menteri telah meluluskan pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) bagi menyediakan kesalinghubungan digital yang mampan, menyeluruh, berkualiti tinggi dan mampu milik untuk kesejahteraan rakyat termasuk masyarakat luar bandar di seluruh negara.
“Menjadi hasrat KKMM agar apabila projek ini selesai menjelang akhir tahun 2025 kelak, kesalinghubungan digital yang berteraskan rangkaian gentian optik terutamanya di kawasan luar bandar akan dapat merapatkan jurang digital, menyokong pembangunan wilayah yang seimbang dan inklusif, seterusnya menyokong pembangunan teknologi baharu seperti 5G dan generasi-generasi teknologi komunikasi yang akan datang.
“Projek ini nanti diharapkan dapat mengoptimumkan infrastruktur digital sedia ada, selain mengurangkan pertindanan dalam pembinaan infrastruktur digital baharu yang melibatkan kementerian, jabatan, agensi dan syarikat-syarikat swasta di seluruh negara,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kementerian Komunikasi dan Multimedia sempena majlis penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bagi tender bekalan, kerja dan perkhidmatan bagi projek penyediaan dan penyelenggaraan PoP Fasa 1, di sini semalam.
Menurutnya, selain daripada projek peluasan infrastruktur telekomunikasi di bawah program JENDELA dan perancangan komersial, pihak kerajaan akan turut melaksanakan penyediaan infrastruktur jalur lebar menggunakan kaedah PoP hab gentian optik yang merupakan alternatif dalam memastikan jaringan dan liputan infrastruktur jalur lebar dapat diperluaskan ke kawasan sekitar sekolah dan berpenduduk dengan lebih baik.
“Pelaksanaan JENDELA akan meliputi skop pemasangan gentian optik ke kawasan-kawasan sekolah, premis kediaman, perniagaan,komersial, industri dan lain-lain; penyediaan perkhidmatan Internet Jalur Lebar Talian Tetap (JLTT) ke kawasan populasi dan juga bangunan yang berhampiran dan penyelenggaraan infrastruktur gentian optik tersebut.
“Kawasan berhampiran sekolah ini dipilih kerana bangunan tersebut merupakan fasiliti umum yang telah sedia dibina di setiap kawasan, termasuklah kawasan luar bandar dan pedalaman yang dikelilingi dengan lingkungan kediaman, premis kerajaan, kawasan perniagaan, kemudahan awam dan komersial lainnya dengan jarak norma liputan PoP sekitar 2.5km-3km radius untuk setiap kawasan sekolah yang telah dipilih,” katanya.
Annuar berkata secara keseluruhannya sebanyak 4,323 PoP telah dirancang di bawah RMKe-12 di kawasan berhampiran sekolah luar bandar, termasuk 47 PoP bagi kawasan industri yang telah dikenal pasti.
“Sekurang-kurangnya sebanyak 432,300 premis akan menerima perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi apabila projek ini siap menjelang akhir RMKe-12 tahun 2025.
“Projek PoP ini dibahagikan kepada dua fasa iaitu Fasa 1 ( tahun 2022) sebanyak 630 PoP dan Fasa 2 (tahun 2022-2025) sebanyak 3,693 PoP,” katanya.
-RI