Laporan/foto: Norlia Mili (Sarawak)
KOTA SAMARAHAN, 19 Nov (Malaysiaaktif) – Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) diyakini mampu membantu mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dalam sektor bioperubatan dan pembangunan modal insan di Sarawak.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, berkata pelaksanaan projek itu tepat pada masanya kerana Sarawak perlu membangunkan keupayaan sendiri sebagai persediaan untuk menghadapi sebarang wabak pada masa hadapan.
“Kerajaan negeri sedang mengambil inisiatif untuk bertanggungjawab ke atas nasibnya sendiri sambil mengekalkan interaksi dan kerjasama yang rapat dengan kerajaan persekutuan,” kata Abang Johari semasa merasmikan Majlis Pecah Tanah Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) Kota Samarahan, di sini baru-baru ini.
Majlis pecah tanah ini menandakan fasa seterusnya SIDC dengan pembinaan bangunan khusus untuk penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan produk dan perkhidmatan kepada memerangi penyakit berjangkit untuk Sarawak dan seluruh dunia.
“Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM200 juta untuk membangunkan SIDC yang kemudian diletakkan bawah bidang kuasa Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak (SRDC).
“Pemilihan lokasi di Samarahan adalah mengambil kira kedudukan yang strategik dan sesuai kerana kawasan ini terdapat banyak universiti, pusat penyelidikan dan Taman Biodiversiti Sarawak.
“Penubuhan SIDC dijangka akan menjadi pemangkin pembangunan industri bioperubatan di Sarawak dan permulaan biohub ini akan mengintergrasikan hospital, pusat penyelidikan, akademik dan biopark,” ujarnya.
Terdahulu, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak Datuk Amar Michael Manyin anak Jawong, memaklumkan bahawa matlamat SIDC adalah untuk meningkatkan penyelidikan dalam penyakit berjangkit selain melengkapkan Sarawak dengan keupayaan dan kapasiti untuk menguji ubat, vaksin dan peralatan terhadap agen berjangkit.
“Ia sekali gus membolehkan kami mengesan, mendiagnosis dan meramal potensi wabak penyakit berjangkit,” katanya.
-ZS-