Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/PSA
SHAH ALAM, 7 Dis (Malaysiaaktif) – Seramai 27 orang kurang upaya (OKU) pendengaran merupakan graduan Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), di sini menerima Sijil Kemahiran Penyenggaran Mekanikal.
Mereka antara 2,818 mahasiswa PSA yang menerima ijazah, diploma serta sijil pada Majlis Konvokesyen ke-22 yang diadakan secara fizikal bermula 6 hingga 10 Disember 2021.
Unit Komunikasi Korporat PSA dalam satu kenyataan, memaklumkan majlis itu juga mencatat sejarah apabila graduan sulung ‘Dual Certification Program Techno Huffaz Politeknik Malaysia’ menerima Diploma Pengajian Perniagaan dan Sijil Tahfiz Malaysia daripada Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Menurut kenyataan itu, Muhammad Firdaus Naim Yuswan@Rizwan, 22, merupakan generasi pertama program Techno Huffaz yang mula diperkenalkan pada sesi Jun 2017.
“Ketika itu, program tersebut hanya melibatkan pelajar Jabatan Perdagangan namun bermula tahun 2019 ia diperluas kepada para pelajar jabatan akademik lain,” menurut kenyataan itu semalam.
Kenyataan tersebut memaklumkan majlis secara fizikal itu dirasmikan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor.
Katanya, program Techno Huffaz dilihat mampu melahirkan graduan pendidikan serta latihan teknik dan vokasional (TVET) mampu membina masyarakat yang ‘multi-tasking’ dan ‘multiskilling’ mendepani cabaran global.
“Justeru, diharapkan program tersebut diperluas sekali gus melahirkan lebih ramai teknokrat huffaz di negara ini.
“Majlis konvokesyen secara fizikal setelah mengambil kira hasrat mahasiswa dan ibu bapa yang ingin majlis istimewa tersebut diadakan secara bersemuka di samping kebenaran yang diberikan oleh kerajaan,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Pengarah PSA, Dr Mohd Zahari Ismail, berkata pihaknya berusaha mengimbangkan hasrat mahasiswa serta ibu bapa dengan aspek keselamatan dan kesihatan ketika pandemik COVID-19 belum berakhir.
“PSA melaksanakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat khususnya sepanjang majlis berlangsung seperti yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Ini termasuk mengagihkan sesi penyampaian sijil kepada 13 sidang berbanding tujuh atau lapan sidang sebelum ini,” katanya.
Menurutnya, PSA turut mencatat 97.8 peratus kadar kebolehpasaran graduan bagi tahun 2021 yang menunjukkan peningkatan berbanding 95.9 peratus pada tahun 2020 dan 2019.
-RI