Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Anugerah Tokoh Guru Pembakar Semangat Warga Pendidik

By 9 Disember 2021Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Nurulaini Mohd Kasran (Kota Tinggi) 

KOTA TINGGI, 9 Dis (Malaysiaaktif) – Peredaran zaman dan kemajuan teknologi tidak pernah mematahkan semangat seorang guru untuk membekalkan ilmu kepada para pelajar.

Tugas guru pada masa kini yang semakin mencabar dan memerlukan kreativiti dan inovasi bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran lebih berkesan kepada para pelajar tidak harus dipandang remeh.

Menurut Pegawai Daerah Kota Tinggi Datin Paduka Hazlina Jalil, saban tahun Perayaan Sambutan Hari Guru dibuat bagi mengiktiraf peranan dan sumbangan guru dalam mendidik anak bangsa dan memacu kemajuan negara.

“Dalam suasana negara yang masih belum pulih sepenuhnya dari pandemik COVID-19, saya penuh yakin dan percaya bahawa para guru memainkan peranan sebagai penyampai ilmu dalam mendidik murid-murid generasi baharu dalam suasana norma baharu yang serba mencabar ini.

“Sememangnya menjadi guru dewasa ini tidaklah semudah yang disangka,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Majlis Anugerah Hari Guru Peringkat Daerah Kota Tinggi 2021 di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim Kota Tinggi, di sini, semalam.

Tambah beliau, bersempena dengan majlis ini, dua orang penerima Anugerah Tokoh Guru dan Tokoh Kepimpinan Pendidikan telah dipilih sebagai menghargai khidmat bakti dan jasa yang tidak ternilai dalam mendidik anak bangsa.

“Tahniah dan syabas kepada guru-guru yang telah menerima pelbagai anugerah juga kepada mantan guru yang dinobatkan sebagai Tokoh Guru dan Tokoh Kepimpinan Pendidikan Daerah bagi tahun 2021.

Dalam suasana negara yang masih belum pulih sepenuhnya dari pandemik COVID-19, saya penuh yakin dan percaya bahawa para guru memainkan peranan sebagai penyampai ilmu dalam mendidik murid-murid generasi baharu dalam suasana norma baharu yang serba mencabar ini - Datin Paduka Hazlina Jalil

Dalam suasana negara yang masih belum pulih sepenuhnya dari pandemik COVID-19, saya penuh yakin dan percaya bahawa para guru memainkan peranan sebagai penyampai ilmu dalam mendidik murid-murid generasi baharu dalam suasana norma baharu yang serba mencabar ini – Datin Paduka Hazlina Jalil

Tokoh Guru Radiah Sulaiman, 66, yang ditemui berkata beliau amat bersyukur dan berterima kasih kerana telah terpilih untuk menerima anugerah ini.

“Saya berharap semua warga pendidik dapat melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab, dedikasi dengan kerjasama yang erat dalam satu pasukan.

“Ini adalah amat penting dalam membantu meningkatkan prestasi pelajar dan sekolah,” ujarnya.

Penerima Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Md Sedik Abd Hamid, 64, menyifatkan bahawa tugas seorang guru dalam menjalankan amanah yang diberikan untuk mendidik para pelajar harus dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.

“Sebagai mantan Guru Besar, saya amat menegaskan bahawa sifat kepimpinan amat penting bagi seorang ketua untuk memimpin sesebuah organisasi supaya setiap matlamat yang ingin dikecapi akan tercapai,” tambahnya.

Pegawai Pendidikan Daerah Kota Tinggi, Mohamad Fadhil Ishak berkata, anugerah yang diberikan pada hari ini merupakan tanda penghargaan kepada para pendidik yang telah mencurahkan khidmat bakti dan jasa yang tidak ternilai dalam mendidik anak bangsa.

“Saya amat berharap pemberian anugerah ini akan menjadi pembakar semangat kepada semua warga pendidik untuk terus bekerja keras dalam meningkatkan lagi kecemerlangan serta kualiti pendidikan di daerah Kota Tinggi,” katanya.

Pada majlis ini juga turut diadakan penyampaian enam buah anugerah iaitu Anugerah Guru Ikon (Sektor Pembangunan Murid), Anugerah Khas Pendidikan (Sektor Sumber Teknologi Pendidikan), Anugerah Guru Cemerlang (Sektor Pendidikan Khas), Anugerah Guru Inovatif (Sektor Pembelajaran), Ikon Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) dan Kumpulan Vision Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Johor Lama Rosleli Jahari, Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia Cawangan Kota Tinggi Hamim Yunos dan Yang Dipertua Majlis Guru Besar Cawangan Kota Tinggi Tugi Wagiman.

-NI-

Tinggalkan komen anda