
Laporan/foto : Noorshazana Shaadan (Port Dickson) / Tentera Darat Malaysia
PORT DICKSON, 16 Dis (Malaysiaaktif) – Tentera Darat (TD) menyanjung tinggi jasa mantan-mantan teraju utamanya yang telah berusaha gigih membentuk dan membina asas-asas kukuh yang membolehkan ketumbukan ini berkembang mengikut peredaran masa.
Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain berkata, melalui usaha mantan PTD yang terdahulu, TD telah dapat menunaikan setiap amanah yang disandarkan oleh masyarakat dan negara terhadap organisasi pertahanan ini.
“TD merasakan amat perlu bagi setiap pengorbanan pemimpin ulung ini dikenang dan diabadikan untuk renungan generasi kini dan akan datang.
“Maka, tercetulah idea penubuhan sebuah galeri yang dapat memberi gambaran menyeluruh tentang mantan PTD terdahulu untuk tatapan seluruh rakyat Malaysia,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Galeri Panglima Tentera Darat di Muzium Tentera Darat Port Dickson di sini, kelmarin.
Zamrose berkata, Galeri PTD ini antara lain memaparkan biografi setiap mantan PTD bermula dari menceburkan diri dalam perkhidmatan tentera, watikah pelantikan, pengalaman sepanjang perkhidmatan serta Perintah Ulung semasa menjadi PTD.
Tambahnya, galeri ini turut mempamerkan koleksi peribadi seperti pakaian seragam, pingat dan darjah kebesaran, buku yang dihadiahkan serta cendana kenangan yang diterima.
Melihat kepada manfaat besar penubuhan Galeri PTD ini, beliau menyarankan kepada pegawai dan anggota tentera serta masyaraklat awam untuk mengambil peluang mengunjung galeri ini.
Katanya lagi, usaha awal menubuhkan Galeri PTD ini adalah bertitik tolak daripada hasrat mantan PTD ke-25, Yang Mulia Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (B) untuk menyimpan dan mempamerkan koleksi mantan PTD.
Majlis pelancaran Galeri PTD ini telah dihadiri oleh 14 mantan PTD manakala 10 orang mantan PTD diwakili oleh wakil atau waris masing-masing.
Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad.
-FF