
Laporan/foto: Hairidz Fahmi Abd Hamid/Muhammad Hafiz Abdul Wahab (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 20 Dis (Malaysiaaktif) – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menerusi Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya (JaPen WPKLP) menyalurkan bantuan berupa barangan keperluan harian kepada mangsa banjir di ibu kota menerusi sumbangan yang disalurkan kepada Rumah Prihatin.
Pengarah JaPen WPKLP, Lim Ann Teck berkata, sumbangan tersebut secara tidak langsung dapat meringankan mangsa-mangsa banjir yang terjejas.
“Pada hari ini, sebanyak 25 kotak yang mengandungi barang makanan kering, 30 helai selimut dan 30 biji bantal.
“Sumbangan ini adalah inisiatif KKMM bagi membantu rakyat Wilayah Persekutuan yang terjejas teruk akibat bencana banjir termasuk tanah runtuh,” katanya pada Majlis Penyerahan Sumbangan di Rumah [email protected] Seasons, di sini, hari ini.
Sumbangan diserahkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan, Datuk Zainalnizam Zainun.
Dalam pada itu, Zainalnizam berkata, sumbangan tersebut akan diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS).
“Tidak hanya barangan keperluan sahaja diedarkan malah melalui dapur prihatin makanan yang sudah dimasak juga akan diedar kepada PPS.
“Sehingga kini, terdapat lima buah PPS yang menempatkan mangsa banjir, tanah runtuh dan rumah terbakar di bawah tanggungjawab kami,” katanya.
Turut hadir, Pengarah Eksekutif Rumah Prihatin, Dato Mohd Irwan Rizal.
Rumah Prihatin yang beroperasi di Hotel Grand Seasons berperanan sebagai food bank yang diberi tanggungjawab mengumpul, mengurus dan mengedarkan semua bentuk bantuan makanan dan pakaian yang diterima daripada agensi-agensi kerajaan, badan korporat dan persatuan-persatuan untuk diagihkan kepada mangsa bencana di Kuala Lumpur.
Ia merupakan satu inisiatif yang dicetuskan oleh mantan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa yang kini merupakan Menteri KKMM.
Rumah Prihatin menawarkan beberapa perkhidmatan dalam menghulurkan bantuan kepada penduduk setempat menerusi inisiatif Dapur Prihatin, Bilik Penginapan Prihatin, Khidmat Kesihatan Mental Prihatin, Khidmat Vaksinansi Prihatin dan Pusat Gerakan Jejak Prihatin.
-ZS-