Skip to main content
Berita SelatanMelaka

Kolej Komuniti Negeri Melaka Santuni Mangsa Banjir Selangor Dan Pahang

By 29 Disember 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto : Norus Saadah Ahmad (Melaka)

MELAKA, 29 Dis (Malaysiaaktif) – “Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul”. Begitulah ungkapan di saat Malaysia sedang menghadapi cabaran banjir besar yang berlaku di Negeri Selangor dan Pahang ketika ini.

Bagi menterjemah keprihatinan terhadap semua mangsa yang terjejas, Kolej Komuniti Negeri Melaka (KKNM) yang terdiri daripada Kolej Komuniti Selandar, Kolej Komuniti Bukit Beruang, Kolej Komuniti Jasin, Kolej Komuniti Masjid Tanah, Kolej Komuniti Tangga Batu dan Kolej Komuniti Kota Melaka telah melancarkan Program Misi Bantuan Pasca Banjir hari ini.

Bagi menjayakan misi ini, 60 orang sukarelawan KKNM telah bergerak ke dua negeri serentak iaitu Selangor dan Pahang selama 3 hari bermula semalam.

Pelepasam konvoi kenderaan Misi Bantuan Pasca Banjir.

Pelepasam konvoi kenderaan Misi Bantuan Pasca Banjir.

Pasukan Sukarelawan yang dikelolakan oleh Pasukan Institusi Pertahanan Awam (PISPA) dan Briged Sukarelawan Kolej Komuniti (BriSK) KKNM melaksanakan inisiatif ini adalah bagi menyampaikan sumbangan kit bantuan banjir berupa barangan keperluan dan makanan, kit permainan kanak-kanak seliaan pegawai psikologi serta membantu kerja-kerja pembersihan di kediaman mangsa banjir.

Menurut Pengarah Kolej Komuniti Selandar, Cr Ramlee bin Yahya selaku Pengerusi Pengarah-Pengarah Kolej Komuniti Wilayah Melaka dan Negeri Sembilan, cabaran yang sedang dilalui oleh mangsa banjir adalah amat besar dan sumbangan ini adalah sekadar usaha kecil kami untuk meringankan beban serta tanda sokongan kepada mangsa terjejas yang sedang melalui detik sukar ini.

“Semoga program misi bantuan ini menjadi titik tolak bagi memperkasakan semangat sukarelawan dalam kalangan warga KKNM dan juga membudayakan nilai tolong menolong dalam usaha mengukuhkan kesejahteraan masyarakat bertepatan dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’,” katanya ketika ditemui.

Katanya juga, seluruh warga KKNM sentiasa mendoakan agar mangsa bencana ini terus kuat dan tabah serta dalam masa yang sama kami menyeru agar mereka terus mematuhi SOP bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19.

Sementara itu, Pengarah Kolej Komuniti Bukit Beruang selaku Pengerusi PISPA Kolej Komuniti Melaka, Muhammad Sani bin Che Idris berkata, pihak KKNM berharap agar inisiatif dan sumbangan kecil yang dilaksanakan ini membantu meringankan beban fizikal dan emosi mangsa banjir kali ini.

Katanya juga, dalam pada KKNM menyantuni mangsa banjir yang terkesan, kami juga turut merakamkan setinggi terima kasih buat seluruh anggota keselamatan yang turut bertungkus lumus menjalankan tugas membantu mangsa banjir sejak berlakunya banjir dan sepanjang tempoh bencana ini.

Turut bersama Encik Mohamad Nazri bin Ismail, Pengarah Kolej Komuniti Jasin selaku Pengerusi BriSK Negeri Melaka dan Encik Khairul Anuar bin Mohamad, Pengarah Kolej Komuniti Tangga Batu dan Encik Adam Teo Koon Sing, Timbalan Pengarah Akademik Kolej Komuniti Selandar.

-FF

Tinggalkan komen anda