
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/PSA
SHAH ALAM, 10 Dis (Malaysiaaktif) – Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan mendedahkan banyak berlaku golongan pelajar menjadi mangsa sindiket penipuan ‘macau scam’.
Beliau berkata, pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) menjadi sasaran sindiket berkenaan menerusi modus operandi dengan tawaran lumayan bagi mengejar gaya hidup mewah di bandar besar.
“Pelajar IPT sering menjadi alat sindiket itu termasuk membenarkan nama mereka digunakan untuk membuka akaun bank bagi tujuan penipuan.
“Berhati-hati dengan pujuk rayu sindiket ini dan kaji sebelum terima sebarang pelawaan,” katanya.

(Tengah) Abd Jalil menyampaikan Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komunikasi) kepada salah seorang graduan di Dewan Al-Jazari PSA.
Di samping itu, Abd Jalil turut menasihatkan para graduan supaya berhati-hati ketika mencari peluang pekerjaan menerusi iklan-iklan yang mengelirukan seperti jawatan di luar negara.
“Ramai yang terkandas di luar negara akibat ditipu pihak sindiket.
“Dinasihatkan agar rujuk kepada pihak-pihak yang berkelayakan sekiranya terdapat sebarang kekeliruan,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Sidang Sembilan Majlis Konvokesyen Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) ke-22, di sini semalam.
Abd Jalil menyampaikan sijil kepada 164 graduan Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komunikasi) daripada Jabatan Kejuruteraan Elektrik pada majlis yang diadakan di Dewan Al-Jazari PSA.
-RI