Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

RM14 Juta Diperuntuk Baik Pulih Cerun Kritikal di Gombak

By 6 Januari 2022Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 6 Jan (Malaysiaaktif) – Pegawai Daerah Gombak, Nor Azlina Abdul Aziz memaklumkan RM14 juta diperuntukkan untuk kos baik pulih enam cerun yang kritikal di daerah ini yang kini dalam fasa tindakan.

Beliau berkata, antara enam lokasi cerun kritikal dalam pentadbiran Majlis Perbandaran Selayang (MPS) iaitu di Apartmen Teratai Bandar Baru Selayang, Persiaran Tiga Puncak Templer dan Jalan Melati 20 di Taman Melati, Selayang.

Katanya, lima cerun kritikal pula dikenal pasti di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) melibatkan peruntukan RM2 juta.

Menurutnya, kejadian hujan lebat pada 18 Disember lalu itu mengakibatkan berlaku 67 runtuhan cerun di daerah Gombak sehingga kini.

“Pengosongan kediaman pula melibatkan 38 keluarga di Apartmen Teratai Bandar Baru Selayang, dua keluarga di Jalan Indah 12 Kampung Selayang Indah dan dua keluarga di Jalan Sepakat Kampung Melayu Batu 16 Rawang.

“Mereka ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Seri Siantan, Jalan Sungai Tua selama dua bulan atau sehingga kerja baik pulih selesai,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Nor Azlina berkata, ketika ini MPS dalam proses melantik kontraktor dan telah dibentang dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor untuk kelulusan peruntukan baik pulih.

Beliau yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Gombak menasihatkan penduduk agar sentiasa berwaspada dan melaporkan segera kepada pihak berkaitan sekiranya mengesan cerun berisiko.

“Pemeriksaan akan dilakukan oleh agensi terlibat seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), JKR serta lain-lain.

“Agensi teknikal ini akan menasihatkan JPBD tentang tahap cerun tersebut dan pengosongan kediaman sekiranya perlu,” jelasnya.

-RI

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda