Laporan/foto : Shaharuddin Abu Hassan (Kuala Pilah)
KUALA PILAH, 6 Jan (Malaysiaaktif) – Seramai 32 keluarga yang terkesan akibat banjir di Rumah Rakyat Kuala Johol dan Kampung Air Taling, Dangi pada 18 Disember 2021 yang lalu menerima Bantuan Wang Insan (BWI) sumbangan Kerajaan Persekutuan.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Johol, Saiful Yazan Sulaiman, kesemua keluarga yang terkesan mendapat bantuan yang sewajarnya. Ini selaras dengan dasar Kerajaan bahawa bantuan ini tidak perlu melalui proses birokrasi yang menyukarkan mangsa.
“Semoga dengan bantuan ini dapat membantu meringankan beban mereka yang terlibat. Pihak Pejabat ADUN Sentiasa mengambil maklum terhadap keresahan dan kebimbangan penduduk di sini dengan keadaan banjir yang dilihat kerap berlaku terutamanya pada tahun 2021. Usaha untuk memperbaiki saliran yang ada bagi mengelakkan kejadian sama berulang sedang dijalankan,” ujarnya.
Tambahnya lagi, disebabkan lokasi penyerahan sumbangan ini terkesan dengan banjir maka ia diadakan di Pejabat ADUN Johol. Bantuan ini bukan sahaja terhad kepada BWI malah meliputi gerak kerja sukarelawan melalui sahabat-sahabat Volunteers DUN Johol bersama-sama pelbagai kumpulan komuniti tempatan.
Antara tindakan yang telah diambil ialah membersihkan rumah-rumah mangsa terutamanya yang kurang berupaya, agihan kelengkapan asas seperti tilam dan tidak ketinggalan bahan asas makanan.
Turut hadir Timbalan Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri (ICU) Negeri Sembilan yang diketuai oleh Datuk Mohd Azhar.
-FF