Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

19,090 Kes Baharu

By 11 Februari 2022Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 11 Feb (Malaysiaaktif) – Kes baharu COVID-19 dalam negara semalam melonjak kepada 19,090 kes berbanding 17,134 kes kelmarin, menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 meningkat kepada 2,975, 422, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Kali terakhir Malaysia merekodkan kes baharu COVID-19 melepasi paras 19,000 adalah pada 15 September tahun lepas dengan 19,495 kes.

Menerusi laman sosial Twitter rasminya Dr Noor Hisham berkata 99.41 peratus atau 18,977 daripada jumlah kes baharu itu adalah dalam kategori satu dan dua, manakala 113 kes lagi atau 0.59 peratus berada dalam kategori tiga, empat serta lima.

Kategori satu dan dua merujuk kepada pesakit yang tidak mempunyai gejala dan bergejala ringan, kategori tiga melibatkan jangkitan paru-paru, kategori empat membabitkan jangkitan paru-paru dan memerlukan oksigen, manakala kategori lima adalah kritikal, organ rosak serta memerlukan bantuan ventilator.

Mengenai kadar kebolehjangkitan (Rt) negara, Dr Noor Hisham berkata ia berada pada paras 1.47 kelmarin dengan Labuan merekodkan nilai tertinggi iaitu 1.94 diikuti Sarawak (1.84), Sabah (1.73) dan Perlis (1.67).

Sementara itu Dr Noor Hisham dalam kenyataan harian mengenai perkembangan COVID-19 dalam negara memaklumkan daripada 19,090 kes baharu hari ini, 134 adalah kes import dan 18,956 kes tempatan, manakala 158 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 78 memerlukan bantuan pernafasan.

Menurutnya 5,712 kes sembuh direkodkan, menjadikan kumulatif kes sembuh setakat ini adalah 2,835,464.

Selain itu, 14 kluster baharu dikenal pasti dengan 395 kluster yang masih aktif setakat ini.

“Maklumat terperinci berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan COVID-19 di Malaysia akan dimuat naik ke laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my,” katanya.

–BERNAMA

Tinggalkan komen anda