Laporan/foto: Mohamad Asri Awang Ya/Nor Juliana Jamri (Hulu Langat)
AMPANG, 16 Mac (Malaysiaaktif) – 80 orang penduduk di 22 buah rumah sekitar Taman Bukit Permai 2 diarahkan berpindah segera berikutan keadaan tidak selamat kerana masih berlaku pergerakan tanah.
Pegawai Daerah Hulu Langat Dr. Ani Ahmad berkata dalam sidang media di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Kg. Cheras Baru semalam, laporan siasatan awal oleh semua agensi teknikal yang terlibat telah merumuskan berlaku ketidakstabilan cerun pada lokasi kejadian sekaligus mengancam keselamatan penduduk.
Kerja-kerja pengukuhan sementara cerun berdasarkan kepada keputusan kajian akan dijalankan merangkumi pemasangan cerucuk yang dijangka mengambil masa selama tiga hingga empat bulan dan pembaikan kekal cerun dijangka mengambil masa 15 hingga 18 bulan.
“Jabatan Kerja Raya (JKR) melalui Cawangan Kejuruteraan Cerun telah memasang 10 unit alat pengesan pada Jumaat lepas bagi memantau pergerakan tanah di kawasan runtuhan,” katanya mengakhiri sidang tersebut.
-ZS-