Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian
LABUAN, 29 Mac (Malaysiaaktif) – Kebun Komuniti yang diusahakan oleh penduduk kampung Sungai Bedaun mampu menjana pendapatan ahli-ahli yang terlibat.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sungai Bedaun, Rosmani Puteh, kebun yang diusahakan sejak dua tahun lalu itu mendapat permintaan yang baik dari penduduk setempat dan kedai-kedai runcit berhampiran.
“Hasil dari kebun ini akan dijual setiap pagi kepada penduduk kampung terlebih dahulu sebelum dipasarkan di kedai-kedai runcit yang berhampiran, antara jenis sayuran yang ada adalah cendawan, kangkung, pucuk manis, kacang panjang, kacang bendi, kunyit, serai, cili padi dan cili merah.
“Kebun Komuniti itu mendapat bimbingan dan bantuan Jabatan Pertanian dalam bentuk peralatan berkebun seperti mesin kubota, mesin rumput, hos air selain bantuan baja, benih, rumah cendawan dan bongkah cendawan,” katanya yang ditemui baru-baru ini.
-ZS-