
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)
LABUAN, 28 Mei (Malaysiaaktif) – Program ‘Outreach’ Bersama Kanak-Kanak dan Komuniti Sub Zon 3 merupakan platform yang sesuai dalam menyampaikan perkhidmatan kerajaan kepada masyarakat.
Menurut Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bashir Alias, program itu memberi peluang kepada pengunjung untuk menikmati pelbagai perkhidmatan dari agensi-agensi yang terlibat.
“Antara agensi-agensi yang terlibat adalah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Pejabat Pembangunan Wanita Labuan (JPW), Jabatan Penerangan Malaysia dan Yayasan Kebajikan Negara (YKN).
“Para pengunjung sepatutnya bersyukur kerana dapat menikmati pelbagai perkhidmatan dan subsidi kerajaan misalnya saringan kesejahteraan, pendaftaran menjalani ujian subsidi mamogram dan ujian subsidi HPV DNA,” katanya semasa merasmikan program itu pagi tadi, di sini.
Beliau turut berharap agar usaha itu akan diteruskan dan dapat dimanfaatkan oleh semua warga Labuan demi kesejahteraan serta kesihatan seluruh ahli keluarga.
-ZS-