Laporan/foto: Khairul Annuar Zulkernain (Alor Gajah)
ALOR GAJAH, 27 Jun (Malaysiaaktif) – Sukan dan permainan tradisional rakyat perlu dipromosikan secara konsisten supaya menjadi lebih popular.
Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka mengambil inisiatif tersebut dengan menganjurkan Aktif@Sukan Tradisional Peringkat Negeri Melaka di Bendang Kampung Gadek, di sini semalam.
Menurut EXCO Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri, V.P. Shanmugam V. Pitchay kerajaan Negeri Melaka sentiasa memberi sokongan dalam penganjuran program ini bagi memastikan budaya sihat dan aktif bersukan dalam kalangan masyarakat.
“Bersukan dan mengamalkan gaya kehidupan yang lebih sihat dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya rakyat negeri Melaka harus diutamakan,” katanya.
Seorang pengunjung dari Kuala Lumpur, Jamilah Abd Rahman, 42, berkata program ini dapat mengembalikan kegemilangan dan kenangan sukan tradisi rakyat di kampung suatu ketika dahulu.
“Selain beriadah sukan-sukan tradisi seperti panjat tiang licin, menangkap ikan menggunakan tangan dan lain-lain dapat diperkenalkan kepada generasi muda,” ujarnya.
-ZS-