Laporan/foto: Noorezrin Mahmod/Muhammad Naim
JEMPOL, 22 Okt (Malaysiaaktif) – Setelah hampir 10 tahun paragliding tidak diadakan di bumi Jempol kini aktiviti tersebut diaktifkan semula oleh Tourism Negeri Sembilan dan Pejabat Daerah dan Tanah Jempol.
Bukit Penarikan, Bahau di sini merupakan kawasan yang menjadi tumpuan bagi paraglider di Malaysia.
Bermula di Bukit Penarikan, mereka akan memulakan penerbangan paragliding dan paramotor serta melakukan pendaratan di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Mansor.
Menurut salah seorang paramotor, Futra Norehsan, 53, mereka yang berkecimpung dalam sukan ini adalah kerana minat dan sukakan cabaran.
“Bukan sahaja cabaran cuaca namun jika salah perkiraan, diri akan terdedah dengan bahaya.
“Saya pernah tercedera dan menjalani pembedahan kerana tersilap perkiraan ketika ingin membuat aksi semasa menyertai acara pertunjukan di Bali namun ianya tidak mematahkan semangat untuk terus aktif dalam bidang yang telah diceburi sejak tahun 2004,” katanya lagi.
Seramai 10 orang paramotor dan hampir 60 orang paragliding dari seluruh negara telah berkumpul di sini bagi menjayakan acara pada hari ini yang turut dihadiri oleh YAM Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz.
-ZS-