Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/JaPen Sarawak
LABUAN, 17 Okt (Malaysiaaktif) – Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia di bawah Belanjawan 2022 diterajui oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) dengan kerjasama daripada Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) membantu meringankan beban serta pembelajaran secara digital para pelajar.
Menurut Pengerusi Persatuan Mahasiswa dan Siswazah Labuan (PERSILA) Yusrie Mohd Daud, 22, program yang memberikan terus tablet berjenama terkenal merupakan satu inisiatif yang baik untuk membantu mahasiswa yang tidak berkemampuan keperluan selain membantu pembelajaran sekaligus dapat merapatkan jurang digital.
Bagi seorang penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS) Mohammad Azuan Isack, 22, beliau menyambut baik inisiatif kerajaan itu kerana sudah menjadi suatu kewajipan bagi seorang pelajar memiliki peranti pintar untuk memudahkan pembelajaran secara dalam talian atau digital ketika ini.
Manakala seorang lagi mahasiswa UMS Irham Zulhilmi Mohd Johan, 22, berkata inisiatif itu menggembirakan hati mahasiswa di seluruh Malaysia kerana peranti tersebut menjadi hak milik mereka dan berharap ianya membantu dalam pembangunan pendidikan berteknologi tinggi serta berteraskan kepada dunia tanpa sempadan, selaras dengan kehendak revolusi industri 4.0.
-ZS-