Laporan/foto: Rahman Ishak (Putrajaya)
PUTRAJAYA, 19 Nov (Malaysiaaktif) – Keluarga Malaysia menjalankan tanggungjawab dan hak sebagai pengundi pada Pilihan Raya ke-15 (PRU15) yang diadakan di seluruh negara hari ini.
Dalam satu kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), 70 peratus pemilih berdaftar telah keluar melaksanakan hak mereka sebagai pengundi setakat pukul 4.00 petang tadi.
Di Putrajaya seorang penjawat awam Nofarik Safari, 35, berkata beliau mula beratur sejak pukul 7.00 pagi untuk menjalankan kewajipan sebagai warga Malaysia.
“Menjadi kewajipan bagi seluruh rakyat Malaysia keluar mengundi untuk menentukan masa depan negara tercinta ini,” katanya.
Seorang pekerja swasta yang mengundi di Parlimen Tampin, Negeri Sembilan Mohd Farid Md Zlan, 35, berkata beliau mula bergerak ke pusat pengundian pada pukul 7.30 pagi bagi mengelakkan kesesakan jalan raya.
“Undi hanya sekali, kewajipan harus didahulukan kerana soal agama dan bangsa harus diutamakan,” katanya.
Menurut peniaga butik pakaian Maruzuwan Abd Aziz, 41, yang ke pusat mengundi di Jenderam, Selangor bersama abang, ibu dan bapanya kagum dengan permandangan yang tidak pernah dilihat sebelum ini.
“Saya gembira dan seronok melihat ramai anak-anak muda dan remaja yang sudah mempunyai kesedaran menunaikan hak memilih pemimpin negara,” katanya.
Bagi seorang petugas di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Ulu Bendul, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Mohd Zuli, 40, kesedaran pengundi muda termasuk yang pertama kali mengundi amat memberangsangkan apabila mereka telah hadir dan beratur sejak awal pagi di sini.
“Walaupun hujan pada waktu pagi dan hanya terdapat dua saluran mengundi, namun sambutan pengundi amat mengalakkan,” katanya.
-RI