Laporan/foto: Hamidah Md Drus (Kuala Pilah)/Mohd Khairulnizam Mohd Yunus (Negeri Sembilan)
KUALA PILAH, 19 Nov (Malaysiaaktif) – Walaupun hujan membasahi bumi Kuala Pilah awal pagi ini, ia tidak mematahkan semangat pengundi terutama pengundi muda untuk keluar bagi menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini.
Menurut Nur Solehah Aminuddin, 21, salah seorang pengundi yang belajar dan bekerja di Kuala Lumpur, ini merupakan kali pertama beliau mengundi dan memilih pulang ke kampung untuk menunaikan tanggungjawab terhadap negara tercinta.
“Saya rasa teruja untuk menjadi sebahagian daripada sejarah negara dan menjadi salah seorang pengundi hari ini.
“Saya sudah berbaris seawal pukul 8.30 pagi untuk mengundi di Sekolah Kebangsaan Ampang Tinggi hari ini. Sebagai pengundi muda saya memilih parti yang mempunyai reputasi baik dalam mentadbir negara,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, Siti Nur Asila Akmar Mazlan, 23, menyatakan proses pengundian berjalan lancar walaupun terpaksa beratur panjang.
“Akhirnya saya dapat merasai sendiri pengalaman kali pertama mengundi dan beratur bersama warga Kuala Pilah dari pelbagai usia sejak pukul 7.30 pagi lagi,” ujarnya.
-ZS-