Laporan/foto: Norshazila Ahmad (Shah Alam)
SHAH ALAM, 8 Dis (Malaysiaaktif) – Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mendapat sambutan yang menggalakkan dengan kehadiran lebih 100,000 pengunjung sehingga kelmarin.
Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kebanyakan pempamer berpuas hati dengan penganjuran pesta berkenaan kerana berpeluang memasarkan pelbagai bahan penerbitan mereka.
“Keistimewaan pesta buku kali ini adalah melibatkan pempamer dari luar negara serta lebih memfokuskan dari segi penerbitan, penjualan dan pengenalan buku kanak-kanak selaras dengan niat kita terhadap pendidikan awal yang merupakan nadi penting kepada bidang pendidikan negara.
“Saya percaya hujung minggu ini lebih ramai orang akan datang. Terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama dan menyokong penuh program kali ini,” katanya ketika ditemui selepas melawat SIBF 2022 di Pusat Konvensyen MBSA di sini semalam.
SIBF 2022 berlangsung dari 1 hingga 11 Disember 2022 bermula dari pukul 10 pagi hingga 10 malam. Terdapat 295 gerai pameran dibuka dan 13 daripadanya adalah pempamer dari luar negara iaitu dari China, Singapura dan Indonesia.
-ZS-