Skip to main content
Berita TempatanPutrajaya

KKD Bekerjasama Tingkatkan Akses ICT Untuk Golongan OKU

By 4 Januari 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Zaidy Salim/JaPenTV

PUTRAJAYA, 4 Jan (Malaysiaaktif) – Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bersedia untuk mengadakan kerjasama strategik dengan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) dan badan bukan kerajaan (NGO) komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) bagi meningkatkan akses kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi golongan OKU.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching berkata, pada masa ini tahap pencapaian negara dalam menjamin akses terhadap kemudahan ICT bagi golongan OKU penglihatan masih jauh berbanding di negara maju lain.

“Saya difahamkan bahawa OKU penglihatan juga kini menggunakan pelbagai medium digital untuk mendapatkan maklumat antara lain melalui pembangunan aplikasi kebolehcapaian ICT yang dibangunkan syarikat utama seperti Google dan Microsoft,” katanya dalam ucapan pada majlis perasmian Sambutan Hari Braille Sedunia 2023, di sini hari ini.

Teo berkata jalinan kerjasama antara KKD dan MAB serta pihak NGO boleh diperluaskan kepada program kesedaran tentang hak dan keperluan OKU penglihatan kepada masyarakat agar golongan ini tidak terus terpinggir.

“Saya bersama KKD akan cuba meneruskan usaha kesedaran bagi membantu golongan OKU agar mereka juga terlibat dalam sosioekonomi masyarakat kita, ini juga merupakan salah satu hasrat kerajaan perpaduan,” katanya.

Sementara itu pada sidang media, Teo berkata di bawah KKD, pihaknya juga bekerjasama dengan MYNIC untuk memastikan laman web ini sesuai untuk diakses golongan OKU bagi memastikan mereka juga dapat terlibat dalam ekonomi digital.

“Selain itu, penyediaan aplikasi SaveME 999 DEAF dan SaveME 999 BLIND adalah antara inisiatif bagi membantu OKU pendengaran dan penglihatan untuk menghubungi talian kecemasan 999 jika berlaku sebarang kecemasan,” katanya.

Hari Braille Sedunia disambut pada 4 Jan setiap tahun bagi meraikan kepentingan dan kesedaran terhadap huruf Braille sebagai medium komunikasi OKU penglihatan.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MAB Datuk George Thomas.

-ZS-

Tinggalkan komen anda