Laporan/foto: Muhammad Nashran/Kalaimani Munian (Kampar)
SIMPANG PULAI, 12 Jan (Malaysiaaktif) – Lokasinya yang sedikit tersembunyi tidak membuatkan Lubuk Timah Hot Spring sunyi dari menjadi tumpuan pengunjung dan pencinta alam semulajadi.
Terletak 15 kilometer dari bandar Ipoh, pusat rekreasi ini merupakan antara tapak perlombongan bijih timah pada awal abad ke-20.
Menurut penyelia Ahmad Kamal, 52, pelbagai kemudahan disediakan untuk keselesaan pengunjung seperti pondok untuk aktiviti bersama keluarga, tandas, kafe, surau termasuk sewa peralatan barbeku.
“Selain dapat menikmati suasana persekitaran yang nyaman dan menghijau, pengunjung boleh membuat pilihan untuk mandi di air terjun yang sejuk atau di kolam air panas yang baru sahaja dinaik taraf,” tambahnya ketika ditemu bual di sini semalam.
Sementara itu, pelancong Achunaida Ayannan, 54, berkata, tempat ini sangat sesuai untuk mendekatkan diri dengan alam semulajadi dan pada masa sama pengunjung dapat bersantai sambil menghirup udara segar.
“Saya berharap keunikan dan khazanah alam berharga ini dapat dijaga dan dikekalkan untuk generasi akan datang,” katanya lagi.
-ZS-