Laporan/foto: Muhammad Amizan Lokman (Hulu Perak)
GERIK, 13 Jan (Malaysiaaktif) – Aktiviti mendaki gunung kian mendapat tempat di hati rakyat negara ini terutama pencinta alam semula jadi.
Bagi penggemar sukan ini, ada dalam kalangan mereka yang mendaki secara santai mengikut tahap kesukaran yang rendah dan segelintir pula gemar akan cabaran gunung-ganang yang mempunyai trek mencabar.
Justeru, mereka yang sukakan cabaran ini pasti tidak melepaskan peluang untuk merasai sendiri pengalaman mendaki Gunung Kerunai di Gerik yang berketinggian 1,000 meter dari paras laut dan amat terkenal dengan jolokan ‘The Twin Peaks of Perak’ atau K2.
Pendaki, Zawani Zainal, 36, berkata dia mengambil peluang mendaki gunung ini kerana ingin menikmati keindahan alam di puncak Gunung Kerunai yang dikatakan sangat cantik apabila dipenuhi dengan awan karpet sewaktu awal pagi.
“Sebelum ini saya hanya melihat gambar dan video mengenai Gunung Kerunai ini namun mengambil peluang untuk mendaki bersama rakan-rakan,” katanya yang menyertai aktiviti pendakian ini bersama rakan anggota dari Majlis Belia Daerah Gerik, baru-baru ini.
Bagi Shubli Saleh, 33, pula aktiviti mendaki sudah sebati dengan dirinya walaupun sebelum ini dia lebih menggemari sukan marathon.
“Aktiviti pendakian ke puncak Gunung Kerunai ini mengambil masa sekitar dua jam setengah bagi mereka yang baru pertama kali merasai laluan yang berliku dan mencabar pada waktu malam hari,” katanya yang mendaki Gunung Kerunai ini sebagai persediaan untuk mendaki Gunung Kinabalu, Sabah pada hujung tahun nanti.
-ZS-