
Laporan/foto: Hamidah Md Drus (Kuala Pilah)/Unit Foto IPDKP
KUALA PILAH, 30 Jan (Malaysiaaktif) – Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Kuala Pilah Sempena Perayaan Tahun Baru Cina Tahun 2023 telah berjalan selama sepuluh hari bermula 20 hingga 29 Januari 2023 yang lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Supt Amran Mohd Gani, operasi ini melibatkan semua bahagian dan tujuh balai dalam Daerah Kuala Pilah serta ditambah dengan dua ‘Team Task Force Jenayah dan Narkotik’ serta dua ‘Team Snap Check’ gabungan Balai dan Bahagian.
“Team Task Force ini lebih tertumpu kepada mengesan individu dikehendaki serta membuat pemantauan di lokasi Hot Spot manakala dua Team Snap Check gabungan bahagian dan balai-balai memberi tumpuan kepada Operasi Snap Check di lokasi tumpuan orang ramai bagi meningkatkan kehadiran anggota polis (Omnipresence) serta mengelak kejadian jenayah,” ujarnya ketika ditemui.
“Bagi memastikan Daerah Kuala Pilah bebas dari kejadian jenayah dan ketenteraman awam dapat dipelihara sepanjang musim perayaan tersebut, pihak IPD Kuala Pilah telah memaksimakan penugasan Operasi. Oleh itu sehingga ke hari akhir operasi, tidak terdapat sebarang insiden yang tidak diingini berlaku,” tambahnya lagi.
-ZS-